Páginas

Tuesday 29 March 2016

Peguam Buta Pertama Negara Anak Terengganu

By Fauzi Mohd -  29 Mac 2016


Dato’ Mah Hassan Omar melakar nama sebagai peguam buta pertama negara, perintis al-Quran Braille, Presiden Persatuan Braille Malaysia, dan pemenang pingat emas sukan catur Sukan Paralimpik Asean 2009.


Perkongsian pengalaman anak kelahiran Besut, Terengganu ini wajar dijadikan pedoman kepada masyarakat yang bertanggungjawab membela nasib golongan orang kurang upaya (OKU) secara kolektif dan bukan individu.

Anak kelima daripada tujuh adik-beradik merupakan satu-satunya yang cacat penglihatan namun berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Katanya, dua faktor yang mendorong kejayaannya, iaitu bantuan kerajaan untuk OKU dan pendekatan ibu bapanya yang berwawasan.

“Seawal usia 8 tahun, saya merantau untuk bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru melalui inisiatif Jabatan Kebajikan Masyarakat Terengganu.

Saya masih ingat kata-kata ayah, ‘Walaupun kamu tak dapat melihat, tapi ayah percaya suatu hari nanti dengan pendidikan, kamu dapat memperbaiki keadaan. Kita keluarga miskin tetapi tidak bermakna ayah membiarkan kamu terus dalam miskin’.

“Emak dan ayah berlinangan air mata setiap kali ‘melepaskan’ anak cacatnya belajar. Mereka menanggung tohmahan orang seperti“nak buang anak”.

“Sebenarnya tindakan ayah itu adalah terbaik buat saya. Jika saya disimpan di rumah, tak tahulah apa jadi kepada saya hari ini. Syukur, ALLAH melorongkan saya ke jalan sekarang.”

Mah Hassan bersekolah menengah di SMK Jalan Temerloh, seterusnya di SM St John Jalan Bukit Nenas sehingga tingkatan 6.

Ketika itu sistem pendidikan integrasi diperkenalkan di mana pelajar cacat penglihatan ditempatkan untuk belajar dalam satu kelas bersama murid biasa.

“Cabaran saya paling getir apabila tiada buku teks dan buku rujukan dalam format Braille. Saya hanya mampu fokus, dengar dan ingat di dalam kelas. Balik sekolah,   saya minta tolong kawan untuk bacakan nota dan saya salin dengan menggunakan mesin taip Perkins Brailler.

“Itulah kaedah saya belajar zaman itu. Sukarnya mendapat ilmu. Tapi perjuangan perlu diteruskan, usaha perlu dipertingkatkan, hati perlu cekal. Insya-ALLAH kita boleh dapat capai kejayaan.

“Nasihat saya kepada pelajar hari ini, bersyukur dengan kemudahan yang ada dan rebutlah peluang agar dapat mencapai kejayaan dalam hidup,” ujar pelajar terbaik aliran sastera tahun 1981 di SM St John ini, dipetik dari Sinar Harian.

Sewaktu menuntut di Universiti Malaya (UM), beliau bertekad untuk menceburi bidang undang-undang. Baginya, jika berjaya, alhamdulillah dan kalau gagal paling tidak beliau buka laluan baru untuk junior akan datang.

“Dengan kebenaran khas pihak universiti, saya guna perakam suara di dalam kuliah. Alhamdulillah, saya berjaya menggenggam ijazah.

“Tapi belajar macam orang gila sebab kena kerja keras berganda. Saya memperuntukkan masa belajar 15 jam sehari,” kata perintis ini yang meninggalkan legasinya di UM dengan koleksi buku Braille undang-undang untuk faedah pelajar cacat penglihatan selepas beliau.

Selepas bergraduasi, Mah Hassan menjalani latihan profesional undang-undang dan menerima pentauliahan oleh Mahkamah Tinggi Malaya sebagai Peguambela & Peguamcara pada awal tahun 1989.

Ini sekali gus mencipta sejarah sebagai orang buta pertama ditauliahkan sebagai peguam di Malaysia.

Ketika itu, kejayaan beliau menarik perhatian Pengerusi Eksekutif Kontena Nasional, Allahyarham Tan Sri Abd Jamil Abdul Rais, yang menghadiahkan geran RM50,000 untuk sambung pengajian peringkat ijazah lanjutan undang-undang di University of Southhampton, England.

Sekembali ke tanah air, beliau bertugas di Bursa Saham Kuala Lumpur selama 12 tahun, kemudian menubuhkan syarikat guaman sendiri atas nama Mah Hassan & Associates.

Pasangan kepada Datin Foziah Mat Zain ini menjadi aktivis seawal usia 20 tahun. Bekas Presiden Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia dan Presiden Gabungan Persatuan Orang cacat Malaysia ini bertanggungjawab menyediakan draf awal Akta Orang Kurang Upaya Malaysia yang berkuat kuasa pada 8 Julai 2008.

“Segala nikmat yang ALLAH kurniakan kepada kita sebenarnya merupakan amanah yang perlu dimanfaatkan untuk keperluan masyarakat. Kelompok masyarakat yang paling dekat di hati saya untuk berbakti ialah OKU,” tegasnya.

Melalui KL Braille Resources, kini beliau memfokuskan aktiviti penyediaan buku Braille serta pengajaran Braille untuk kanak-kanak cacat penglihatan dan juga mereka yang baru kehilangan penglihatan.

Lebih banyak buku Braille dapat disediakan maka lebih cerah masa depan murid-murid cacat penglihatan.

“Kami menginsafi kekurangan naskhah braille untuk orang cacat penglihatan. Senaskhah al-Quran tulisan Braille lengkap 30 juzuk disediakan dengan kos RM250. Ini adalah di luar kemampuan kebanyakan individu orang buta.

“Untuk menyumbang al-Quran Braille boleh hubungi Persatuan Braille Malaysia di talian 013-3905764,” kata beliau yang menjadi Setiausaha Agung International Braille Services pada 2013.

Dengan kerjasama Sirim, KL Braille menghasilkan buat julung kalinya alat tulis Braille pertama keluaran Malaysia, “Brailet”.

Ia kecil, mudah dibawa dalam beg dan harganya RM30 satu set.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment