Páginas

Thursday 3 March 2016

SPM 2015: Calon Cemerlang Tertinggi Meningkat

By Noraini Jusoh -  3 Mac 2016

Shafruddin mengucapkan tahniah kepada pelajar cemerlang SPM 2015 di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini. Foto Oleh: Hasmizi Hamid
*****
Pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 seluruh Terengganu merekodkan sedikit penurunan, bagaimanapun Gred Purata Negeri masih mengatasi Gred Purata Nasional.


Gred Purata Negeri pada 2015 menurun kepada 5.06 berbanding 5.00 pada 2014 iaitu menurun sebanyak 0.06. Sementara Gred Purata Nasional pula 5.15.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, walaupun pencapaian Gred Purata Negeri menurun, seramai tujuh orang calon telah mendapat A+ (cemerlang tertinggi) dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding enam calon pada 2014.

Calon cemerlang berkenaan, Sharifah Nurhayati Syed Abu Bakar Thukofi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Sheikh Abdul Malek, Kuala Terengganu (11A+); Husna Amni Jalaluddin dari Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI) Batu Rakit, Kuala Nerus (11A+); Muhammad Irfan Hashim, Tengku Eidin Aiman Tengku Sifzizul dan Lua Chin Wen dari SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu (9A+) serta Mohamad Syazani Hilmi Mohd Hasni dan Wan Muhammad Aiman Hazimin W. Mohd Zuferi masing-masing dari SM Sains Kuala Terengganu dan SMK Sultan Ismail 2, Kemaman turut mendapat 9A+.

Shafruddin berkata, prestasi calon yang mendapat semua A (A+, A dan A-) turut menunjukkan peningkatan dari segi peratusan apabila seramai 348 orang calon sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) (1.83%) berjaya mendapat keputusan gred cemerlang (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding 360 orang calon (1.81%) pada 2014 atau peningkatan 0.02 peratus.

“Manakala bilangan calon yang berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred kepujian C bagi semua mata pelajaran yang diduduki juga menunjukkan peningkatan dari segi peratusan iaitu 16.92 peratus berbanding 16.68 peratus pada tahun 2014 iaitu meningkat sebanyak 0.24 peratus,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan SPM 2015 bagi sekolah KPM seluruh Terengganu, di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Bukit Kecil, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu secara keseluruhan, calon lokasi bandar menunjukkan sedikit penurunan dari segi Gred Purata iaitu 4.84 berbanding 4.73 pada 2014 iaitu menurun sebanyak 0.11. Gred Purata bagi calon luar bandar pula ialah 5.27 sama seperti tahun 2014.

“Jurang antara bandar dengan luar bandar, menunjukkan penurunan iaitu 0.43 pada 2015 berbanding 0.53 pada 2014,” ujarnya.

Pencapaian sekolah pula katanya menunjukkan peningkatan dimana bilangan sekolah yang mencapai GPS kategori cemerlang (0.00-2.25) telah meningkat pada tahun 2015 iaitu tujuh sekolah (4.90%) berbanding enam buah sekolah (4.20%) pada tahun 2014.

“Namun begitu, bilangan sekolah yang mencapai kategori Baik (2.26-4.50) pula tidak berubah iaitu enam buah sama seperti tahun 2014,”katanya.

Tambah beliau, secara keseluruhan sebahagian besar sekolah di Terengganu berada dalam kategori pencapaian sekolah cemerlang, Baik dan Memuaskan serta hanya enam sekolah sahaja (4.20%) yang memperoleh pencapaian Berpotensi.

Katanya, tujuh sekolah merekodkan pencapaian  membanggakan dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.25 dan ke bawah iaitu SM Imtiaz Besut, Besut (1.72), SBPI Integrasi Batu Rakit, Kuala Nerus (1.92), SM Imtiaz Kuala Berang, Hulu Terengganu (2.00), SM Sains Kuala Terengganu (2.04), SM Sains Sultan Mahmud, Kuala Nerus (2.07), SM Sains Hulu Terengganu (2.24) dan SM Sains Dungun (2.25).

Lebih membanggakan katanya, seorang Calon Berkeperluan Khas yang mengalami kecacatan fizikal berjaya mendapat keputusan cemerlang (4A+, 4A, 2A- dan1B+) iaitu Nor Melisa Mohd Yadi dari SMA Khairiah, Kuala Terengganu.

Seramai 21,262 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM pada 2015 berbanding 21,765 tahun sebelumnya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment