Páginas

Monday 21 March 2016

Pusat Hemodialisis 1Malaysia Kampung Maras Beroperasi Secara Berperingkat

By Noraini Jusoh -  21 Mac 2016

Dato' Mohammad Pehimi Yusof
*****
Pusat Hemodialisis 1Malaysia di Kampung Maras telah memulakan operasi pada 17 Januari lalu secara berperingkat dengan menawarkan satu sesi rawatan pada peringkat permulaan sehingga beroperasi dengan dua sesi sepenuhnya kelak.



Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof berkata, sehingga kini, terdapat 20 pesakit buah pinggang yang sedang mendapatkan rawatan dialisis di pusat berkenaan.

“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri dengan penubuhan Pusat Hemodialisis 1Malaysia Kampung Maras ini akan dapat meringankan beban pesakit di kawasan sekitar dan memberi ruang kepada pesakit mendapatkan rawatan hemodialisis di tempat yang lebih selesa,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dengan kerjasama Jabatan Nefrologi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akan mengendalikan Unit Hemodialisis 1Malaysia Kampung Maras sebagai sebuah cabang perkhidmatan dari HSNZ.

“Pusat ini akan diserahkan kepada Pengarah Hospital HSNZ untuk pengendalian sepenuhnya bagi pihak JKNT,” katanya.

Sementara itu katanya, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah bersetuju memberikan sumbangan sebanyak RM804,880 kepada JKNT untuk pembelian 11 buah mesin hemodialisis.

“Manakala, kos untuk kerja-kerja ubahsuai bangunan sebanyak RM285,390 ditanggung oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri Terengganu,” ujarnya.

Tambah beliau, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dijangka akan menyempurnakan perasmian perkhidmatan pusat hemodialisis itu pada 31 Mac ini.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment