Páginas

Monday, 7 March 2016

Pertandingan Makanan Sedap Antara Daerah Ketengah 86 Jenis Makanan Istimewa Terengganu

By Aida Abd Rahman -  6 Mac 2016

Marzuki ketika diwawancara media di Rumah Media Kawat, di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu.
*****
Sebanyak 86 jenis kuih-muih serta lauk-pauk daripada 56 pengusaha makanan seluruh Terengganu  bakal mewarnai Pertandingan Makanan Sedap Antara Daerah sempena Pesona Terengganu 2016 bertempat di Galeri B, Pusat Dagangan Terengganu pada 10 Mac ini.


Pertandingan anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) bertujuan memartabatkan pembangunan produk makanan Terengganu beserta memperkenalkan produk makanan yang boleh ditonjolkan dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Program bermula jam 9.30 pagi hingga jam 1 petang ini akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi Negeri , Roslee Daud.

Pegawai Eksekutif  YPU, Marzuki Endut, berkata objektif pertandingan ini adalah untuk mengenengahkan kembali produk makanan Terengganu yang menjadi kurang popular dan hampir pupus dan mengenalpasti pengusaha-pengusaha makanan tradisional Terengganu yang masih aktif dalam penghasilan produk berkenaan.

“Pada masa yang sama, pertandingan ini juga untuk melahirkan bakat-bakat baru di kalangan generasi muda supaya terlibat dalam penghasilan produk makanan Terengganu dan mengkomersialkan produk makanan Terengganu melalui aktiviti promosi serta pembinaan rangkaian perniagaan di kalangan pengusaha yang terlibat dan para pengedar.

“Selain itu, program ini juga mampu menaik taraf imej makanan Terengganu sama ada penghasilan reka bentuk, pembungkusan dan pelabelan serta penambahbaikan kualiti seperti peningkatan rasa dan ketahanan produk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Pusat Media Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Marzuki berkata, setiap Pejabat Daerah diberikan peruntukan sebanyak RM15,000 supaya mengadakan pertandingan di peringkat daerah masing-masing bagi mencari pemenang tempat pertama dan kedua sebelum terpilih ke pertandingkan peringkat negeri.

Katanya, kesemua peserta dari lapan daerah akan bertanding di peringkat negeri mengikut kategori pertandingan seperti masakan lauk-pauk, kuih-muih kering, kuih-muih basah dan menu istimewa daerah.

“Setiap daerah akan diwakili dua orang pemenang manakala pertandingan menu istimewa daerah ‘Signature Dish’ akan diwakili oleh seorang pemenang di setiap daerah,”katanya.

Katanya, YPU mensasarkan peserta dari kalangan pengusaha dan peniaga makanan Terengganu.

Menurut beliau, syarat pertandingan itu adalah terbuka kepada usahawan di setiap daerah dengan setiap kumpulan tidak melebihi tiga orang yang  menggunakan tema ‘Makanan Sedap Negeri Terengganu’ untuk hidangan tengah hari.

Tambahnya, kesemua alatan, bahan mentah memasak dan menghidang disediakan oleh peserta itu sendiri.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment