Páginas

Friday 11 March 2016

Sidang DUN: Terengganu Buat Pengurangan Bajet RM630 Juta

By Noraini Jusoh -  8 Mac 2016


Kerajaan negeri mengambil langkah membuat penilaian semula serta pengubahsuaian bajet untuk berhadapan dengan penurunan mendadak pendapatan kerajaan sekiranya harga minyak masih berkisar USD 30 setong.


Menteri Besar, Dato Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, tujuh tindakan kawalan bajet 2016 yang dilaksanakan adalah mengawal peruntukan untuk caruman kepada kumpulan wang pembangunan daripada RM700 juta kepada RM400 juta.

Manakala perbelanjaan pembangunan dibenarkan sebanyak RM500 juta sahaja berbanding peruntukan asal RM1. 138 bilion.

“Menilai semula pemberian caruman kepada jabatan atau agensi, badan-badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan iaitu dijangka peruntukan asal berjumlah RM334 juta kepada hanya RM151. 5 juta sahaja.

“Menilai semula peruntukan di bawah Vot B.32 (Pelbagai Perkhidmatan) daripda jumlah peruntukan RM450 juta kepada RM350 juta,” ujarnya ketika menjawab soalan yang dikemukakan Azan Ismail (PKR-Bandar).

Katanya, penilaian semula juga dibuat ke atas Bajet mengurus dan pembangunan semua Jabatan Negeri termasuk mengeluarkan wang sekatan mengikut osol yang difikirkan perlu berdasarkan aliran tunai semasa dengan kelulusan Yang Berhormat Pegawai Kewangan Negeri.

Katanya, kerajaan negeri juga mengeluarkan Pekeliling Pejabat Perbendaharaan Negeri Bil.2 Tahun 2016 berkait langkah-langkah penjimatan kepada semua Jabatan, Agensi-agensi, Badan-Badan Berkanun, Pihak Berkuasa Tempatan dan Anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri suapaya mengawal perbelanjaan jabatan dan agensi masing-masing.

Menurut Ahmad Razif, Pejabat Setiausaha kerajaan telah mengeluarkan Pekeliling Bil.1 Tahun 2016 bagi mengemaskini kadar harga makanan atau jamuan yang dianjurkan oleh Ketua Jabatan Negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan serta Surat Pekeliling langkah penjimatan penggunaan utiliti (elektrik, air, telefon) di jabatan dan agensi kerajaan negeri.

“Taklimat mengenai pengubahsuaian Bajet 2016 serta langkah-langkah penjimatan kepada semua Ketua Jabatan Negeri, Badan Berkanun Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri telah diadakan pada 14 Februari lalu di Wisma Darul Iman,” ujarnya.

Menurut Ahmad Razif, bajet asal 2016 yang diluluskan Dewan Undangan Negri (DUN) pada 3 Disember 2015 adalah berjumlah RM2.103 bilion.

“Manakala Bajet 2016 yang telah diubahsuai pada 20 Januari 2016 iaitu sebanyak RM1.473 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM630 juta.

“Kita anggarkan hasil 2016 asalnya RM2.02 bilion. Tetapi anggaran hasil yang diubahsuai adalah sebanyak RM1. 473 bilion,” ujarnya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment