Páginas

Monday 7 March 2016

Sultan Mizan Berkenan Menyempurnakan Istiadat Pembukaan DUN

By Aida Abd Rahman -  7 Mac 2016

Ahmad Razif menyerahkan titah ucapan kepada Sultan Mizan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ke-14 Dewan Undangan Negeri Ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail
*****
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-13, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.


Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dengan diiringi Tengku Sri Temenggong Raja, kerabat-kerabat Raja dan Ahli Dewan Pangkuan DiRaja.

Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat dan pegawai-pegawai kerajaan.

Ketibaan baginda disambut dengan kawalan kehormatan mempersembahkan `Hormat DiRaja’ , diikuti lagu Selamat Sultan serta pengibaran Bendera DiRaja.


Sultan Mizan kemudiannya memberi perkenan kepada ketua kawalan kehormatan untuk berangkat memeriksa barisan kawalan kehormatan diiringi Ketua Barisan Kehormatan dan Ketua Polis Negeri, Dato’ Rosli Abd Rahman.

Serentak dengan itu juga, barisan kawalan kehormatan mempersembahkan `Hormat DiRaja’ dan lagu Selamat Sultan.

Sejurus kemudian, baginda berangkat masuk ke Majlis Dewan Undangan Negeri dan berkenan menyampaikan Titah DiRaja sebelum istiadat berakhir kira-kira dua jam kemudian.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment