Páginas

Wednesday 2 March 2016

Terengganu Disaran Wujudkan Pusat Bimbingan Dan Kaunseling Keluarga

By Aida Abd Rahman -  2 Mac 2016

Pakar motivasi terkenal, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad
*****
Kerajaan negeri disaran mewujudkan pusat bimbingan dan kaunseling keluarga dalam usaha menangani masalah sosial yang semakin membimbangkan dalam institusi kekeluargaan masa kini.


Pakar motivasi terkenal, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, berkata sudah sampai masanya kerajaan negeri menyediakan tempat bagi pemulihan emosi dan jiwa khususnya kepada ibu bapa yang berdepan tekanan supaya tidak mencetus kejadian lebih buruk dalam hubungan kekeluargaan dan seterusnya masyarakat.

“Sebagai negeri yang menekankan prinsip Keluarga Bahagia, Rakyat Sejahtera,  menerusi konsep Transformasi Terengganu Baharu, setiap ibu dan bapa perlu sentiasa menjaga hubungan baik serta kebahagian dalam pembinaan keluarga.

“Oleh yang demikian, jika terdapat masalah keluarga, mereka boleh merujuk pusat bimbingan dan kaunseling yang disediakan itu secara terus sebelum masalah kian melarat dan menimbulkan pelbagai gejala negatif lain dalam masyarakat pula,”katanya kepada media ketika ditemui di Hotel Primula, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian seorang wanita yang mencampak bayi yang baru dilahirkan dari tingkat 18, Pangsapuri Danau Kota, Kuala Lumpur, semalam.

Wanita berkenaan dikatakan sudah berumahtangga dan menyewa bilik di pangsapuri berkenaan bersama anak berusia lima tahun, turut dalam proses penceraian.

Tambah Dr Asmadi, mereka yang mengalami simpton-simpton stres, tekanan, kemurungan dan depresi perlu didampingi oleh keluarga terdekat serta diberi bimbingan supaya mereka tidak bertindak di luar kawalan seperti membuang dan membunuh bayi sendiri.

Selain itu, pesakit juga perlu dirujuk kepada kaunselor supaya mereka mampu mengawal diri akibat tekanan yang dihadapi.

Dalam perkembangan lain, beliau bakal menganjurkan Forum dan Konvensyen Power Parenting dengan kerjasama kerajaan negeri di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, pada 15 dan 16 April ini, dengan tema `Kecil Bagi Ibu Bapa, Besar Bagi Anak’.

Program pertama kali di Terengganu itu akan menampilkan lima ikon terkenal termasuk Dr Asmadi, selain Dato’ Dr Mohd Fadzilah Kamsah,  Prof Dr Muhaya Mohamad,  Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki dan Ahmad Fadzli Yusof.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment