Páginas

Monday, 21 March 2016

Buka Semula Pintu Rundingan Untuk Bangunkan Hentian Bas MBKT

By Aida Abd Rahman -  20 Mac 2016


Kerajaan negeri bersedia membuka semula pintu rundingan dengan peniaga di Hentian Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di tengah pusat bandar Kuala Terengganu berhubung isu pemindahan sementara supaya kerja menaik taraf prasarana awam itu mampu disegerakan.


Terminal yang bakal ditambah baik dengan kos RM43 juta itu akan dihubungkan dengan lima projek yang telah dan sedang dibangunkan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan penyediaan jejantas menghubungkan semua bangunan berkenaan, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di samping memberikan lebih keselamatan kepada orang ramai.

Kerja menambah baik kemudahan awam itu melibatkan pembinaan eskalator, tempat menunggu bas dan beberapa premis perniagaan tambahan.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya memberi peluang kepada peniaga supaya memikirkan dan membuat keputusan semula bagi memastikan projek memajukan prasarana itu dapat berjalan seiring dengan perancangan kerajaan negeri ke arah pembangunan pusat bandar raya yang bermula dari pusat komersial Paya Bunga sehingga sekitar empat kilometer.

“Saya memberi penerangan mengenai keperluan kita menaik taraf stesen bas ini bagi memberi manfaat dan memenuhi keperluan orang ramai merangkumi pekhidmatan bas henti-henti ini (Hentian MBKT) supaya dapat kita jalankan dengan sebaik-baiknya, selain memastikan kesesakan trafik yang berlaku di Kuala Terengganu dapat dikurangkan.

“Kita juga bercadang untuk menjadikan kawasan Paya Bunga sebagai satu pusat membeli-belah yang terkemuka di negeri dan juga negara kita kerana kesesuaian dan kelebihan yang ada  seperti pusat peniagaan Paya Bunga (PB) Square, PB Central,  PB Plaza, selain Hentian Bas MBKT serta Pasar Payang ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di sidang akhbar sejurus memberi taklimat sempena Majlis Kesyukuran di Hentian Bas MBKT, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail; Datuk Bandar MBKT, Dato’ Mohamad Kamil Othman dan Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT),  Dato’ A Rahman Yahya.

Ahmad Razif berkata, pembangunan kawasan komersial itu bukan hanya tertumpu di Paya Bunga,  juga melibatkan Kampung Tiong, Ladang serta Shahbandar turut berlaku pembangunan baharu.

4 (2)Tambahnya, sebuah syarikat pelabur juga bercadang membangunkan hotel bajet di Bazar Warisan, bersebelahan Pasar Payang selain mewujudkan Restoran Makanan Cina Halal dan kafe antarabangsa di atas Bazar Warisan berkenaan.

Selain itu katanya, Permodalan Harta Tanah Bumiputera juga bersetuju untuk membangunkan hotel dan pusat beli-belah di kawasan Tanjung, tidak lama lagi.

“Pembangunan ini akan menjadikan kawasan ini sebagai segitiga emas yang merangkumi pusat membeli-belah, ditambah pula dengan kewujudan KTCC yang sedang dibangunkan.

“Oleh yang demikian, jika hentian bas ini tidak dibangunkan, kita bimbang kawasan ini tertinggal dari arus perubahan. Bagaimanapun, kita akan bincang balik dengan semua pihak terbabit khususnya peniaga, PMINT dan MBKT,” katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment