Seorang peniaga telefon, Hisham Mustafa Muda, 37, berkata, dia sangat berpuas hati dengan penerangan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengenai hala tuju dan juga kebajikan peniaga sekiranya bersetuju untuk berpindah sementara kerja naik taraf prasarana itu dilaksanakan.
“Saya sebagai wakil peniaga yang menyerahkan memorandum hasil perbincangan semua peniaga di sini kepada YAB MB sebentar tadi, sangat berpuas hati dengan penerangan beliau, malah kami menyanjung tinggi kerana seorang pemimpin tertinggi negeri sanggup turun padang untuk mendengar suara hati kami golongan peniaga di sini.
“Keputusan berpindah itu masih dalam proses perbincangan. Saya tidak menolak kemungkinan kami bersetuju berpindah jika diberikan lokasi strategik dan ditempatkan di bawah satu bumbung serta kami tidak diagihkan di tiga lokasi berbeza yang pasti menyukarkan lagi keadaan,” katanya selepas mendengar taklimat Menteri Besar sempena Majlis Kesyukuran di Hentian Bas MBKT, Kuala Terengganu, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail; Datuk Bandar MBKT, Dato’ Mohamad Kamil Othman dan Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Dato’ A Rahman Yahya.
Sementara seorang lagi peniaga, Wan Amin Nordin Wan Dagang, 35, pemilik kedai emas yang beroperasi sejak 15 tahun lalu, berkata cadangan yang diberikan Menteri Besar sangat bernas dan mereka bersedia menimbangkan cadangan itu untuk faedah bersama.
“Kalau kami semua dipindahkan ke Paya Buanga Square sebagaimana cadangan MB, saya sangat setuju memandangkan perniagaan emas saya perlu mengutamakan keselamatan dan juga keselesaan pembeli.
“Bagi saya, kalau kadar sewa tinggi sedikit berbanding RM120 sebulan di sini, itu tidak menjadi masalah memandangkan premis di dalam pusat perniagaan yang baharu nanti pastinya lebih selamat dan selesa,”katanya.
Bagi peniaga pakaian, Nor saidah Abdullah, 21, berkata dia sudah selesa meniaga di situ dengan mengambil alih perniagaan ibunya yang mula mencari rezeki di situ sejak 25 tahun lalu, walaupun berdepan dengan pelbagai masalah termasuk panas dan persekitaran terminal yang dicemari tahi burung.
“Kalau semua peniaga bersetuju berpindah, saya pun akan ikut sama berpindah demi kelancaran kerja pembangunan. Bagaimanapun, saya hanya mahu memastikan perniagaan kami tidak terjejas akibat proses pemindahan yang memakan masa lama selain kerja pembinaan yang akan makan tahun juga untuk siap sepenuhnya.
“Kami juga tidak mahu menolak pembangunan, malah sedia berunding dan berbincang dengan pihak berwajib ke arah kebaikan bersama. Pada masa yang sama kami tidak mahu peniagaan warisan keluarga ini terjejas kerana inilah periuk nasi kami selama ini,”katanya.
Teganukita/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment