Setiap kali UMNO berpecah atau Mahathir menyingkirkan mana-mana pemimpin termasuk Musa Hitam dan Anwar Ibrahim; beliau akan mengulang mantera “bahawa parti lebih penting dari pemimpin. Pemimpin datang dan pergi tapi parti kekal menjaga kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia.”
Tun selalu berkata kita hanya akan membuang UMNO apabila parti tidak lagi mampu menjaga kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia. Jadi di mana menunjukkan UMNO telah mengabaikan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan negara Malaysia sehingga hari ini?
Tun-MahathirNamun dalam masa tidak sampai 10 tahun terakhir ini telah dua kali kita diberitahu oleh Mahathir bahawa pemimpin lebih penting dari parti. Apabila menolak Pak Lah, Mahathir umum keluar UMNO. Sekarang bila tidak suka Mohd Najib, Mahathir umum keluar UMNO lagi.
Jika parti UMNO lebih penting dari pemimpin tentu Tun Mahathir tidak meninggalkan UMNO kerana marahkan mana-mana pemimpin.
Sehingga kini Tun Mahathir menunjukkan kepentingan kuasa individu lebih penting dari kuasa parti. Mahathir menyerang dan mahukan Presiden UMNO, Mohd Najib Tun Razak berundur bukan kerana kepentingan agama, bangsa dan negara tetapi kerana perebutan kuasa individu.
Tuduhan-tuduhan terhadap Mohd Najib bukan kerana kepentingan agama, bangsa dan negara terjejas. Ia hanyalah tuduhan berasaskan skandal peribadi dan dakwaan rasuah yang sentiasa berlegar kepada sesiapa sahaja yang memegang kuasa.
Rupanya, selama lebih selama 22 tahun kita telah ditipu oleh Mantera Mahathir “parti lebih utama dari pemimpin” hanya bertujuan mengekalkan dirinya ditampuk kuasa bukan kerana kepentingan agama, bangsa dan negara.
Tiada lagi tangisan UMNO untuk mu, Tun Mahathir, seperti mana 2008. Pisang tidak berbuah dua kali. Jasa mu tetap dalam kenangan dan akan kekal terpahat dalam sejarah kebangkitan negara ini.
Namun sejarah juga tampak akan berulang bahawa sebahagian besar pemimpin UMNO (Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussien On) meninggal di luar UMNO.
Mungkin Tun hanya meneruskan tradisi dan takdir tersebut. Selamat Tinggal Tun Mahathir. Ampun dan maaf kiranya ada salah silap dan terkasar bahasa kerana politik itu demikianlah adatnya. Semoga Tun pergi dengan tenang suatu hari nanti.
KuntaKinte Malaysia/UmnoOnline
No comments:
Post a Comment