Páginas

Monday, 7 March 2016

Rakyat Selangor Mahu Penjelasan Bukan Gantung Chegubard

Oleh: Azman Abas

Azmin Ali
*****
KUALA LUMPUR, 7 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata rakyat Selangor bukannya mahu melihat penggantungan terhadap bekas Ketua cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Sharin @ Chegubard oleh parti itu tetapi mahukan penjelasan berhubung perkara serta isu-isu yang dibangkitkannya sebelum ini.


Menurut beliau apa yang dilontarkan oleh Chegubard khususnya terhadap pentadbiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Selangor seperti dakwaan tender balak, kos ubah suai pintu gerbang dan sebagainya lagi sepatutnya diperjelaskan kepada masyarakat umum.

Menurutnya lagi itulah yang sepatutnya dan itulah jalan terbaik dan bukannya bertindak mengambil pendekatan menggantung Chegubard dengan alasan memalukan parti yang sudah pasti akan terus menimbulkan pelbagai tanggapan kepada rakyat Selangor berkenaan status dakwaan yang dilontarkan sebelum ini.

“Kita tidak nafikan mereka boleh ambil sebarang tindakan. Tetapi bagaimana pula dengan apa yang didakwa oleh Chegubard sebelum ini. Saya penuh yakin rakyat negeri ini mahukan penjelasan dan bukannya berlalu begitu sahaja.

“Tindakan seumpama itu terhadap Chegubard seolah-olah menunjukkan ada sesuatu yang ingin disembunyikan dan tidak keterlaluan jika dikatakan ianya adalah salah satu usaha untuk menutup bekas Ketua Cabang PKR Rembau itu daripada terus menerus menimbulkan pelbagai dakwaaan,“ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Memetik Antarapos, PKR dilaporkan bertindak menggantung bekas Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham atau Chegubard selepas aktivis itu sering mengkritik beberapa pemimpin parti itu, termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Chegubard berkata beliau dimaklumkan mengenai penggantungan itu menerusi surat rasmi yang dihantar ibu pejabat PKR.

“1 Mac 2016 saya menerima surat dimana saya dihukum ‘gantung’ oleh PKR dengan 10 pertuduhan kononya saya memalukan parti.

“Saya juga dikehendaki menjawab surat tunjuk sebab dalam masa 14 hari. Persoalanya ialah saya yang menegur dan berusaha memastikan parti ini bersih dan mampu memperbaiki diri dilihat memalukan tetapi yang membazir dan lemah tatakelola pentadbiran dipelihara?

“Gantung itu satu hukuman dan saya dihukum tanpa saya dipanggil membela diri ? adakah ini perlembagaan parti dan adakah perlembagaan parti mengiktiraf undang–undang ala ISA, hukum dulu baru siasat?,” soal Chegubard ketika sidang medianya di Seremban baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut Mat Nadzari seterusnya menambah PKR yang kononnya diwar-warkan sebagai sebuah parti yang telus dan penuh dengan amalan demokrasi yang sebetulnya sekadar rupa dan wajah di luar semata-mata.

“Apakah mereka takut untuk berdepan dengan dakwaan daripada Chegubard. Kata parti telus…perbetulkanlah kalau apa yang didakwa itu tidak betul dan jawablah secara berdepan segala persoalan serta dakwaaan yang ditimbulkan itu. Inilah pentadbiran ‘parti yo-yo‘ dan penuh cacamerba,“ katanya.

-MediaUMNO

No comments:

Post a Comment