Páginas

Wednesday 13 January 2016

40 Pasukan Khas Turun Padang Musnahkan Tempat Pembiakan Aedes

AUTHOR: FAUZI MOHD 12 JANUARY 2016

Dato' Muhammad Pehimi
*****
Sebanyak 40 pasukan khas dikerah ke kawasan lokaliti untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes ekoran penularan wabak denggi yang semakin meningkat di Terengganu.


Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof berkata pasukan yang terdiri daripada 30 pasukan dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dan 10 pasukan dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) itu mula turun padang sejak akhir bulan lepas.

“Mereka membuat semburan, mengenal pasti kawasan berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes dan mencari mereka yang demam di kawasan perumahan atau kampung tetapi masih tidak pergi membuat pemeriksaan di hospital,” katanya.

Beliau berkata  selepas menziarahi keluarga mangsa ketiga yang maut akibat denggi di Kampung Tanjung Paya, Kuala Terengganu hari ini yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohamad Omar.

Setakat ini, terdapat 141 kes demam denggi dengan tiga kematian dilaporkan di seluruh Terengganu dan masih ada 104 pesakit yang sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Mengulas mengenai peningkatan kemasukan pesakit denggi di HSNZ ketika ini, Muhammad Pehimi berkata beliau dimaklumkan cuti untuk semua staf klinikal di hospital itu telah pun dibekukan sejak wabak bermula akhir bulan lalu.

“Disebabkan kekurangan staf juga, HSNZ telah mendapatkan bantuan daripada pelajar perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin dan Kolej Kejururawatan untuk membantu membuat pemeriksaan terhadap pesakit denggi.

“Namun, mereka hanya membantu tugasan yang ringan seperti memeriksa tekanan darah dan mengambil darah pesakit sahaja,” katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment