Páginas

Monday 11 January 2016

Kolej Komuniti Rintis Projek PPRT Lebih Murah, Cepat

AUTHOR: MOHAMAD ISHAK 11 JANUARY 2016


Kolej Komuniti akan memperkenalkan konsep pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang lebih murah dan mengambil masa singkat untuk membantu mempercepatkan golongan miskin mendapatkan rumah sendiri.


Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, projek itu dilakukan oleh pelajar jurusan pembinaan dari empat buah Kolej Komuniti seluruh negara sebagai latihan wajib kepada pelajar jurusan berkenaan.

Kata Ahli Parlimen Besut itu, rumah berharga RM20,000 berukuran 20 x 30 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik lebih murah daripada projek PPRT yang sebelum ini dibuat secara tender.

Beliau berkata, projek pertama yang dikenali Perumahan D’ Komuniti  dibina di Kampung Padang Landak, Besut dan pembinaan dijangka siap dalam tempoh sebulan.

“Sebagai permulaan Pejabat Parlimen Besut akan membina 50 rumah D’ Komuniti di Besut sebelum ia diperluaskan ke kawasan lain,” katanya ketika meletak batu asas pembinaan projek itu di Kampung Padang Landak, semalam.

Idris berkata, Kolej Komunti akan menggunakan tenaga pelajar yang mengambil jurusan pembinaan untuk melakukan kerja-kerja pembinaan secara sukarela.

Katanya, jika konsep ini berjaya ia akan diperluaskan ke tempat lain secara berperingkat-peringkat.

Mengenai peserta, beliau berkata, mereka yang tidak mempunyai rumah dan disenaraikan dalam kategori miskin akan dipilih oleh Pejabat Ahli Parlimen untuk dipertimbangkan menduduki rumah berkenaan.

Beliau yakin dengan kepakaran yang ada pada Kolej Komuniti, projek perintis itu akan berjaya dan menjadi model kepada pembinaan rumah yang setaraf dengannya.

Malah, katanya, pihak kolej juga turut menyediakan kemudahan lain termasuk pendawaian elektrik  dan pemasangan paip air di rumah yang siap dibina.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment