Páginas

Saturday 9 January 2016

SME Corp Terengganu Sedia Biaya 25 Syarikat

AUTHOR: FAUZI MOHD 9 JANUARY 2016


SME Corporation Malaysia (SME Corp) Terengganu bersedia membiayai 25 syarikat di negeri ini tahun ini bagi membantu meningkatkan pengeluaran perniagaan.


Pengarahnya, Muhammad Ibrahim berkata, pembiayaan Geran Peningkatan Perindustrian Kecil dan Sederhana Bumiputera (BEEP) bernilai RM3 juta itu difokuskan kepada industri berimpak tinggi menggunakan teknologi hijau dan farmaseutikal.

“Di Terengganu, kita pantau perkembangan usahawan ini melalui Penarafan Daya Saing PKS bagi Penambahbaikan (SCORE) kepada sistem yang mengkategorikan PKS sama ada dalam kategori dua, tiga, empat atau lima bintang.

“Dengan kerjasama lebih 20 jabatan dan agensi kerajaan berkaitan keusahawanan, kami akan menawarkan peluang pembiayaan geran kepada syarikat-syarikat yang dilihat mampu memanfaatkan kemudahan ini untuk mengembang empayar perniagaan mereka di pasaran dalam dan luar negara,” katanya.

Tahun lepas, lapan syarikat di Terengganu menerima pembiayaan geran BEEP sebanyak RM500,000.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata pada masa ini terdapat 32 syarikat PKS yang sudah dikategorikan sebagai empat bintang.

“Selain itu, masih terdapat 431 syarikat bertaraf tiga bintang dan SME Corp menyasarkan untuk meningkatkan prestasi mereka kepada perusahaan empat bintang dalam tempoh tiga hingga empat tahun.

“Fokus pembiayaan juga diberikan kepada syarikat berstatus dua bintang, terutama perniagaan yang dimiliki oleh anak muda (B40) dan Usahawan Wanita yang mempunyai perniagaan berpotensi untuk dikembangkan menerusi pembiayaan ini,” katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment