Páginas

Saturday 2 January 2016

Bauksit: Kabinet Arah Henti Sementara

AUTHOR: FAUZI MOHD 2 JANUARY 2016


Kabinet memutuskan aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang yang mencetuskan kebimbangan risiko pencemaran alam sekitar dan bantahan meluas penduduk dihentikan sementara.


Keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu itu disifatkan tepat selepas berlaku perubahan ketara kepada alam sekitar dengan terbaharu, air sungai dan laut berhampiran bertukar menjadi merah.

Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai berkata, kementeriannya akan mengkaji semula kaedah penggunaan pengangkutan bagi membawa bauksit susulan keputusan Kabinet tersebut.

Katanya, kajian menyeluruh akan dilakukan melibatkan pengangkutan darat dan laut untuk mencari kaedah terbaik bagi mengelakkan pencemaran akibat perlombongan bauksit daripada terus berlaku.

“Kita tahu ini satu isu yang perlu dikaji dari segi cara perlombongan yang lestari kerana kalau kita menggunakan cara sekarang, tidak selamat dan mencemar kawasan kita.

“Sebab itulah kita kaji bukan sahaja dari segi perlombongan tetapi pengangkutan juga sebab bauksit halus ini ringan dan terbang menyebabkan seluruh kawasan menjadi merah.

“Maknanya (lori membawa bauksit) bukan sahaja kena tutup tetapi pengangkutan laut pun kena kaji kerana kapal-kapal yang membawa bauksit itu kalau tidak menggunakan cara betul boleh mencemar malah apabila terumbang-ambing di laut, ia akan terbalik,” katanya.

Isu bauksit yang telah lama membelenggu penduduk di sekitar Pahang dan Terengganu ekoran pencemaran habuk bauksit, memasuki episod baharu apabila didakwa turut menyebabkan air laut bertukar menjadi merah di Pantai Batu Hitam.

Kejadian yang dikatakan berpunca daripada stok penyimpanan bauksit berhampiran Pelabuhan Kuantan, tidak jauh dari kawasan perkampungan Sungai Pengorak itu mengundang tindakan segera Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, kerajaan memandang serius isu tersebut dan jemaah menteri telah membuat keputusan untuk menghentikan sementara perlombongan tersebut selama tiga bulan.

Katanya, tempoh tersebut akan digunakan pihak terbabit untuk mengkaji semula kaedah sesuai bagi memastikan isu pencemaran alam sekitar di kawasan berkenaan diatasi dan tidak berulang.

“Pencemaran di kawasan tersebut terlalu teruk dan perlu dika­ji semula cara pelaksanaannya. Ba­gaimana boleh kita kurangkan pen­cemaran di kawasan perlombongan dan pelabuhan termasuk di kawasan laut yang serius,” ujarnya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment