Páginas

Sunday 3 January 2016

Bauksit : Terengganu Sambut Baik Keputusan Kabinet

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN 2 JANUARY 2016

Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman meninjau kerosakan jalan raya akibat laluan lori-lori bauksit di Felda Neram, Kemaman baru-baru ini.
*****
Terengganu menyokong penuh keputusan Kabinet yang menghentikan sementara aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, Pahang.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, ia merupakan jalan terbaik bagi mengelakkan pencemaran berterusan yang turut memberi kesan buruk kepada Terengganu.

“Mungkin ini adalah jalan terbaik untuk menenangkan keadaan sebelum mencari satu mekanisma baharu bagi mengelakkan pencemaran yang semakin teruk.

“Kerajaan negeri sendiri telah mengambil tindakan termasuk meningkatkan penguatkuasaan dan juga menghantar surat bantahan kepada Pahang agar menggunakan laluan lain bagi mengelakkan kerosakan jalan serta pencemaran di Felda Neram, Kemaman,” katanya.

Beliau ditemui pemberita dalam majllis Jom Kembali Ke Sekolah Dun Seberang Takir di Dataran Permata Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini.

Tambahnya, kerajaan negeri sedang mengkaji dari segi perundangan bagi menghentikan pengeksportan bauksit menggunakan Pelabuhan Kemaman.

“Dari segi undang-undang, kita sedang melakukan kajian supaya Pelabuhan Kemaman dapat menghentikan aktiviti eksport bauksit kerana ianya menyusahkan banyak pihak terutamanya penduduk di daerah ini,” katanya.

Isu bauksit yang telah lama membelenggu penduduk di sekitar Pahang dan Terengganu ekoran pencemaran habuk bauksit, memasuki episod baharu apabila didakwa turut menyebabkan air laut bertukar menjadi merah di Pantai Batu Hitam.

Kejadian yang dikatakan berpunca daripada stok penyimpanan bauksit berhampiran Pelabuhan Kuantan, tidak jauh dari kawasan perkampungan Sungai Pengorak itu mengundang tindakan segera Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment