Páginas

Thursday 21 January 2016

Perhutanan Terengganu Bongkar Pembalakan Haram, Rampas Aset RM2 Juta

AUTHOR: FAUZI MOHD 21 JANUARY 2016

Foto Hiasan
*****
Jabatan Perhutanan Negeri berjaya membongkar pembalakan haram di Hutan Simpan Cherul, Kemaman serta merampas jentera dan kayu bernilai kira-kira RM2 Juta, Selasa lalu.


Pengarahnya, Dato’ Azmi Nordin berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11 itu pihaknya menyita 12 buah jentera yang digunakan dalam kegiatan itu.

Katanya, kira-kira lima ekar kawasan hutan milik sebuah koperasi telah ditebang oleh kontraktor yang dilantik secara tidak sah.

“Ketika serbuan terdapat 12 pekerja sedang menjalankan kerja-kerja penebangan dan cuba menghalang pihak kami melakukan tangkapan namun kita telah membuat laporan polis kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Bagaimanapun kita berjaya merampas pelbagai jenis jentera berat bernilai kira-kira RM 1.5 Juta dan pelbagai jenis kayu seperti Meranti yang dianggarkan bernilai RM 500,000,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Azmi, pihaknya memandang serius tindakan kontraktor yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi melakukan kerja-kerja penebangan.

Beliau percaya kegiatan haram itu telah dilakukan sejak seminggu yang lepas dengan mengambil kesempatan menebang pokok di kawasan tersebut ekoran permintaan yang tinggi.

“Kita juga percaya kayu tersebut untuk edaran lebih meluas berikutan jentera berat yang digunakan dalam kerja-kerja tersebut,” katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 81 (2) Akta Perhutanan Negara dan sekiranya gagal membayar kompaun akan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Larangan Mengambil Hasil Hutan dan jika disabit kesalahan dikenakan penjara setahun dan denda RM500,000.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment