Menurut beliau, penjelasan demi penjelasan telah diberikan oleh kerajaan berhubung isu TPPA ini sejak dari awal Malaysia terlibat di dalam rundingan tersebut daripada kementerian terbabit, namun ianya tidak mahu diterima oleh pihak pembangkang.
“Bagi saya pembangkang ini, apa saja benda baik yang memberikan manfaat kepada rakyat akan mereka kritik dan tentang. Ini kerana mereka tak mahu ‘political millage’ itu pergi kepada UMNO dan Barisan Nasional. Sebab itu sedaya upayanya mereka akan kritik dan bangkang kerana mereka tak mahu rakyat nampak akan kebaikan yang dilakukan oleh BN.
“Baru-baru ini dalam satu program membantah TPPA anjuran pembangkang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wahid Omar tidak dibenarkan untuk memberikan penjelasan biarpun beliau hadir di dalam program tersebut. Ini secara tak langsung membuktikan bahawa program tersebut bukanlah untuk mendengar penjelasan atau mencari kebenaran, sebaliknya hanya bertujuan politik semata-mata.
“Itulah kerja pembangkang. Hari ini bukan sahaja TPPA yang menjadi modal politik mereka, tetapi apa saja yang dilakukan oleh kerajaan mereka akan kritik dan bangkang. Mereka takut rakyat melihat perancangan kerajaan itu akhirnya mendatangkan hasil dan memberikan kebaikan pada rakyat. Ini yang mereka takut,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Berhubung dengan perjanjian TPPA, provokasi pembangkang yang menyebarkan perkara yang tidak betul terutama di media-media sosial telah menyebabkan timbulnya kebimbangan di kalangan rakyat. Sedangkan kata beliau hakikatnya apa yang disebarkan kepada rakyat itu tidak betul dan tidak benar sama sekali.
“Setiap sesuatu perkara ada pro dan kontranya. Kita tidak dapat lari daripada hakikat itu. Tetapi di dalam isu TPPA, kita lihat ada peluang-peluang perniagaan yang lebih besar untuk menjana ekonomi negara dan juga bagi usahawan-usahawan tempatan untuk melebarkan sayap perniagaan mereka ke peringkat internasional.
“Lagipun, kerajaan juga sudah memberikan komitmen bahawa projek-projek yang melibatkan kepentingan bumiputera dan usahawan lain di negara ini tidak akan terjejas di mana kita telah menetapkan syarat-syarat kita di dalam perjanjian tersebut.
“Melalui media sosial kita dapati banyak perkara-perkara yang tidak benar berhubung perjanjian TPPA ini berlegar di kalangan rakyat. Sedangkan apabila kita mengikuti penjelasan daripada pihak yang terlibat, kita lihat banyak peluang-peluang perniagaan yang boleh negara terokai yang akan mendatangkan kebaikan kepada ekonomi dan juga usahawan lain di negara ini,” ujarnya.
– MediaUMNO
No comments:
Post a Comment