Páginas

Sunday 10 January 2016

Wabak Denggi Di Terengganu Membimbangkan

AUTHOR: SURIATI ALI 10 JANUARY 2016

Dato' Muhammad Pehimi Yusof
*****
Wabak denggi di Terengganu kini semakin meningkat dan membimbangkan dengan sembilan  lokaliti dikenal pasti sebagai berwabak


Peningkatan mendadak wabak denggi berlaku di Kuala Terengganu membabitkan kawasan Losong Haji Su, Losong Haji Mat Shafie, Duyong Besar, Kedai Buloh, Bukit Besar, Gong Tok Nasek, Jalan Panji Alam dan Kampung Chendering.

Manakala di Kuala Nerus membabitkan lokaliti Taman Permint Perdana fasa 1, Kampung Batin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof, berkata dalam tempoh sepuluh hari tahun ini, sebanyak 108 kes  wabak denggi  dicatatkan di negeri ini dan dua daripadanya meninggal dunia.

Katanya, jumlah itu dilaporkan paling tinggi  dalam tempoh sama sejak  2011.

“Mangsa pertama seorang warga emas lelaki berusia 65 tahun meninggal dunia pada Sabtu lalu dan mangsa terbaru, surirumah berusia 49 tahun yang meninggal dunia kira-kira 10.20 pagi semalam.

“Manakala 766 kes denggi bagi tahun lalu dengan lima kematian. Dua kes di Kuala Terengganu dan masing-masing satu kes kematian  di Hulu Terengganu, Kemaman, Besut dan Kuala Nerus,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat keluarga arwah Anisah Mustafa, 49, di Kampung Panji Alam, Kuala Terengganu, hari ni, mangsa terbaru akibat demam denggi yang meninggal dunia kira-kira jam 10.20 pagi semalam.

Muhammad Pehemi, berkata peningkatan kes denggi dikesan sangat ketara bermula dari awal November hingga kini dengan beberapa mangsa yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“HSNZ terpaksa mewujudkan wad khas bagi mengasingkan penghidap denggi berikutan peningkatan jumlah mangsa wabak itu sejak sepuluh hari lalu.

“ Kerajaan berharap masyarakat dapat mengambil tindakan lebih agresif untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes bagi membendung situasi wabak denggi yang semakin membimbangkan,”katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment