Páginas

Wednesday 20 January 2016

Terengganu Terima Lebihan Kos Projek LPT2

AUTHOR: FAUZI MOHD 19 JANUARY 2016


Terengganu bakal menerima lebihan daripada kos projek Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) untuk menaik taraf jalan dan jambatan baharu.

Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri Fadillah Yusof berkata, peruntukan daripada lebihan itu masih dalam peringkat persetujuan lisan namun pemberitahuan rasmi akan dibuat kelak.


“Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman telah memohon untuk menarik taraf dua lokasi utama iaitu dari persimpangan Awana Kijal ke persimpangan Kemasik, Kemaman dan dari Kampung Gong Balai ke Kampung Serating, Merchang, Marang dan beliau mengharapkan untuk menggunakan peruntukan daripada LPT2 yang mana ada lebihan.

“Sukacita dimaklumkan secara lisan perkhabaran yang baru saya terima dalam mesyuarat awal yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), bahawa permintaan kerajaan negeri Terengganu telah diluluskan.

“Maka lebihan daripada peruntukan LPT2 itu akan disalur terus kepada kerajaan Terengganu dan melaksanakan apa yang dihasratkan oleh kerajaan negeri. Kita akan buat susulan dengan KSN untuk mendapat hitam putih nanti,” katanya, semalam.

Kos LPT2 ialah sebanyak RM1.85 bilion dan selain menaik taraf jalan, antara projek lain ialah naik taraf tiga buah jambatan dan pengalihan utiliti.

Fadillah yang dalam sesi lawatan kerja menaik taraf jalan dari bulatan Sultan Mansur ke Kuala Berang, dari Padang Mengkuang ke Durian Guling Terengganu berkata kos bagi pembinaan jalan tersebut ialah RM34 juta.

Projek yang dijadualkan siap pada Julai ini kini hampir 76 peratus menyamai jadual pembinaan.

Mengenai dakwaan bahawa jalan yang dibina kementerian terbabit tidak berkualiti, Fadhillah berkata pihaknya sentiasa mematuhi standard antarabangsa.

Malah katanya sekiranya didapati kontraktor tidak mematuhi syarat pembinaan, pihak tersebut perlu menanggung kos pembinaan semula dan baik pulih.

Tambahnya sehingga kini kementerian amat berhati-hati dan sentiasa mematuhi piawaian yang telah ditetapkan.

“Jika berlaku salah guna bahan pembinaan kita akan dapat pantau menerusi penyelia projek. Ia tidak akan diluluskan. Kontraktor takkan dibayar kerana menggunakan bahan tidak berkualiti,” katanya.

Beliau berkata dalam setiap peruntukan untuk membina jalan raya, pihak kerajaan perlu menimbang beberapa perkara termasuk kos mengatasi faktor bentuk muka bumi seperti tanah gambut.

“Bagi membina jalan di kawasan tanah gambut, kosnya akan meningkat berkali ganda. Di negara ini terdapat beberapa negeri termasuk di utara dan Sarawak yang bertanah gambut”, katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment