Hulur sumbangan peribadi berjumlah RM10,000
ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM sambil ditemani ibu pelajar berkenaan,
Maimunah Md. Razalli melihat kaki Siti Nuraisyah Sahrin yang dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, semalam. UTUSAN/IZHAM JAAFAR.
*****
KLANG 20 Jan. - Penderitaan Siti Nuraisyah Sahrin, 13, yang kehilangan kedua belah kakinya selepas digilis lori mendapat simpati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghulurkan sumbangan peribadi berjumlah RM10,000.Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Abdul Azeez turut mengumumkan sumbangan sepasang kaki palsu daripada Biro Kebajikan UMNO serta akan memantau perkembangan pelajar tingkatan satu itu dari semasa ke semasa.
“Kita rasa terpanggil untuk membantu dan akan mendapatkan sepasang kaki palsu setelah mangsa benar-benar sihat nanti.
“Biro Kebajikan UMNO bersama UMNO Bahagian Sungai Besar dan UMNO Bahagian Klang akan bersama-sama memantau sehingga dia sembuh seperti sediakala,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang kelmarin, kedua-dua belah kaki Siti Nuraisyah putus selepas digilis sebuah lori di Parit 16, Sungai Panjang, Sabak Bernam.
Lebih mengerikan, cebisan daging dan tulang kakinya bertaburan di jalan raya dan difahamkan kedua-dua kaki yang hancur itu tidak dapat diselamatkan.
Dalam pada itu, Abdul Azeez yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji memberitahu, Siti Nuraisyah dan ibu bapanya juga akan menerima tajaan menunaikan umrah.
“Ini adalah antara sumbangan dan sokongan kepadanya yang bukan sahaja merasa trauma akibat kejadian malah seluruh keluarga melibatkan tujuh adik beradiknya juga turut terkesan,” ujarnya.
Abdul Azeez berkata, sumbangan yang diberikan itu juga demi masa depan Siti Nuraisyah yang cekal serta positif menerima musibah sedemikian.
“Saya difahamkan ketika kejadian kaki digilis, adik Siti Nuraisyah tidak menangis dan kuat semangat sehinggalah pembedahan dilakukan semalam.
“Kita mahu semangat sebegini terus kekal dan mendoakan kesihatan yang baik kepadanya,” jelasnya.
Kepada mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang ke dalam akaun Tabung Haji milik Siti Nuraisyah bernombor 060602000266597.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/pm-simpati-nasib-siti-nuraisyah-1.181829#sthash.dbZHJE3T.dpuf
No comments:
Post a Comment