Páginas

Wednesday 13 January 2016

Gotong-Royong Perdana Cegah Denggi Seluruh Terengganu Sabtu Ini

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN 12 JANUARY 2016


Gotong-Royong Perdana kelolaan Pejabat Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh Terengganu akan dilaksanakan serentak pada Sabtu ini bagi mengatasi wabak denggi yang berleluasa di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pelbagai alternatif lain turut diambil bagi menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes selain dari mengadakan gotong royong.


Ujarnya, arahan kepada PBT turut dikeluarkan bagi mencari kaedah untuk meletakkan tong sampah di kawasan yang tidak dapat dilalui oleh lori sampah.

“Kebanyakan tempat yang dikenalpasti punca wabak tersebut menyerang adalah di kawasan jalannya tidak dapat dilalui oleh lori sampah.

“Oleh itu, PBT terutamanya Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) perlu mencari tempat sesuai untuk diletakkan tong sampah dan memberi plastik sampah kepada penduduk di kampung tersebut untuk memudahkan mereka membersihkan kawasan persekitaran rumah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Malam Jasamu Dikenang bagi meraikan persaraan bekas Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Dato’ Wan Mat Amin Wan Daud di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri juga telah mengarahkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk mengadakan majlis penerangan setiap kali sebelum memulakan khutbah solat Jumaat.

“Rakyat kita tidak sensitif untuk menghadiri majlis-majlis penerangan yang biasa dianjurkan oleh jabatan-jabatan berkaitan jadi kita gunakan kaedah ini supaya mereka lebih peka dengan keadaan persekitaran.

“Selain itu, pihak MAIDAM juga diarahkan dapat menganjurkan solat hajat di masjid-masjid untuk kesejahteraan rakyat Terengganu supaya dihandiri daripada wabak ini,” katanya.

Tambahnya, rakyat Terengganu tidak mempunyai kesedaran yang tinggi dalam menangani isu denggi yang meruncing di negeri ini.

“Dari segi kebersihan, pihak kerajaan dapat membantu untuk membersihkan kawasan namun jika tiada kesedaran tempat itu akan kotor kembali.

“Yang paling penting sekarang ini adalah rakyat perlu mempunyai kesedaran bagi mengelakkan wabak ini terus berleluasa,” katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment