Páginas

Sunday, 10 January 2016

KTS Batu Burok Beroperasi Oktober Ini

AUTHOR: MOHD SYAZNI ZAINUDIN 10 JANUARY 2016


Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) baharu yang terletak di Batu Burok, Kuala Terengganu bakal memulakan operasinya Oktober ini.

Hospital yang dimiliki oleh anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad dibina dengan kos RM184 juta dengan keluasan hampir lima hektar.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata hospital baharu tersebut akan dilengkapi dengan peralatan moden, terkini dan canggih bagi memberi perhidmatan penjagaan yang berkualiti.

Tambahnya, dengan kelengkapan yang ada, rakyat tidak lagi perlu mendapatkan rawatan pakar di luar Terengganu.

“Hospital baharu lapan tingkat yang akan menggantikan Hospital KTS di Jalan Kamaruddin akan menyediakan 130 buah katil pesakit, lima buah dewan bedah, lima buah bilik bersalin, satu makmal ujikaji, satu unit rawatan rapi dengan 12 buah katil, satu unit rawatan rapi bayi dengan 19 buah katil dan 25 klinik.

“Apabila mula beroperasi kelak, Hospital KTS ini akan menyediakan kemudahan penjagaan kesihatan lebih komprehensif dan mampu menampung lebih ramai pesakit dengan lebih banyak klinik pakar dengan teknologi terkini serta kemudahan moden,” katanya.

Beliau ditemui dalam lawatannya di Hospital KTS Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir Pengerusi TDM Berhad, Leftenan Jeneral Tan Sri Dato’ Wan Abu Bakar Wan Omar dan Pengerusi Hospital KTS, Dato’ Fatimah Hamad.

Ahmad Razif berkata, dengan pembinaan hospital baharu tersebut secara tidak langsung akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Terengganu.

“Apabila hospital ini digunakan sepenuhnya kelak, lebih 400 kakitangan akan ditempatkan di sini.

“Disamping menyediakan peluang pekerjaan, mereka juga dapat menimba kemahiran dan pengalaman melalui latihan dalam pelbagai bidang perubatan yang disediakan di hospital ini,” katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment