Páginas

Thursday 21 January 2016

Langkah Penjimatan : Peruntukan Pembangunan ADUN Dipotong

AUTHOR: SURIATI ALI 20 JANUARY 2016


Kerajaan negeri bercadang memotong peruntukan pembangunan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selain menanguhkan projek-projek mega di Terengganu sebagai langkah penjimatan.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata nilai peratusan yang dikurangkan akan ditentukan kemudian selepas perbincangan daripada pelbagai pihak termasuk Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN).

“Keputusan berbuat demikian hasil Menyuarat Ahli-Ahli Kerajaan Negeri hari ini, termasuk bersetuju menangguhkan projek-projek baru.

“Manakala peruntukan untuk bantuan perubatan, bencana, perniagaan, dana khas, dana remaja dan bantuan persekolahan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pejabat Sekreatariat Tabung Darul Iman, di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Speaker DUN, Dato’ Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof.

Ahmad Razif berkata, hasil kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), sekretariat itu diwujudkan bagi mengurus dan menyelaras bantuan secara sistematik.

“Peruntukan untuk tabung itu bukan saja ditanggung kerajaan negeri malah turut dibantu MAIDAM sebanyak RM5.1 juta, selain pelbagai pihak, termasuk syarikat-syarikat swasta dan individu.

“Sekiranya sumber kewangan berkurangan, kita akan tambah dari masa ke semasa semata-mata mahu mengurangkan beban masyarakat terutama yang menghidap penyakit kronik,” katanya.

Menurutnya, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi proses permohonan sama ada diluluskan atau sebaliknya akan diketahui pemohon sekurang-kurangnya dalam tempoh tujuh hari, manakala 15 hari untuk proses pembayaran.

Untuk infomasi lanjut, rujuk stdi.terengganu.gov.my atau hubungi talian 09-6233535 atau 09-6243535.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment