Páginas

Saturday 9 January 2016

Terengganu Negeri Kedua Terendah Kes Jenayah Selepas Melaka

AUTHOR: FAUZI MOHD 9 JANUARY 2016


Penglibatan pelajar sekolah dalam kegiatan jenayah di Terengganu masih terkawal dan tidak membimbangkan, kata Ketua Polis Negeri, Dato’ Rosli Ab Rahman.


Beliau dalam laporan Bernama berkata, pihak polis telah menambah baik fungsi Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) bagi membendung para pelajar termasuk penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari terjerumus dalam kegiatan jenayah.

“Kita sering bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengurang kadar jenayah di negeri ini termasuk juga jenayah dalam kalangan pelajar termasuk ancaman dadah, rempit dan sebagainya.

“Di sekolah, kita menggunakan pendekatan dengan mengadakan pameran, ceramah dan menerangkan kesan, akibat dan hukuman jika terlibat dalam jenayah, bagi memberi kesedaran dan pendedahan awal kepada golongan remaja ini,” katanya semalam.

Rosli berkata, pada tahun lepas seramai 20 pelajar berusia antara 14 hingga 20 tahun telah ditahan atas kesalahan dadah berbanding 71 orang pada tahun 2014.

Dalam perkembangan lain, Rosli berkata mengikut rekod yang dicatatkan menerusi Indeks Jenayah membabitkan jenayah kekerasan dan harta benda polis kontinjen Terengganu, menunjukkan penurunan sebanyak 17 peratus bagi tahun 2015 berbanding 11 peratus pada tahun 2014.

Penurunan peratusan itu meletakkan Terengganu sebagai negeri kedua terendah kes jenayah selepas Melaka.

“Penurunkan kadar jenayah ini juga adalah hasil rondaan dan peranan komuniti yang agresif bagi memastikan jenayah di kawasan mereka dapat dibanteras dengan menubuhkan Persatuan Kepolisan Komuniti (PKK) serta Skuad Rondaan Sukarela (SRS),” katanya.

Kes kecurian motosikal adalah penyumbang tertinggi kepada indeks jenayah di negeri ini dan 50 peratus daripada indeks jenayah itu berpunca daripada kes kecurian motosikal, katanya.

Menerusi rondaan dan pemantauan yang dijalankan, Rosli berkata didapati ada segelintir pemilik kenderaan yang cuai dengan tidak mengunci motosikal mereka terutama apabila berada di rumah, termasuklah di masjid dan surau.

“Ini memudahkan pencuri motosikal menjalankan kegiatan berkenaan selain mereka juga mempunyai kemahiran yang tinggi terhadap teknik mencuri motosikal,” katanya.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment