Pengarah JTK Terengganu, Burhanuddin Jusoh berkata, setakat ini seramai 21 majikan telah membuat pengesahan untuk turut serta menawarkan peluang pekerjaan melalui temuduga terbuka yang diadakan sempena karnival berkenaan.
“Sebanyak 4, 368 kekosongan jawatan akan ditawarkan kepada mereka yang berhasrat untuk mendapatkan pekerjaan bersesuaian dengan kelayakan, pengalaman dan kemahiran masing-masing.
“Syarikat yang akan menyertai program ini datang daripada pelbagai sektor seperti pembinaan, perkilangan, perladangan, perkhidmatan, pelancongan, perubatan serta minyak dan gas khusus kepada pencari pekerjaan mulai dari yang mempunyai kelayakan (akademik) tahap ijazah, diploma, sijil dan juga mereka yang tidak punyai kelayakan,” ujarnya kepada teganukita ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, selain untuk menyalurkan maklumat mengenai peluang kerja khususnya kepada belia, program ini juga memudahkan majikan untuk mengisi kekosongan jawatan di organisasi mereka.
“Setakat ini terdapat kira-kira 13,750 pemohon aktif di negeri ini dalam sistem data online jabatan, dan melalui program itu pihaknya berharap jumlah pemohon akan dapat dikurangkan,” katanya.
Dalam program itu, katanya, pemohon akan diberikan pengesahan secara terus oleh penemuduga bagi setiap permohonan mereka, bagi membolehkan pemohon tidak perlu menunggu jawapan dalam tempoh yang lama seperti kebiasaannya.
Burhanuddin berkata, semua pemohon yang akan mengikuti temuduga terbuka tersebut diminta berpakaian kemas dan membawa sijil yang diperlukan seperti diploma, ijazah atau dokumen lain yang relevan supaya sesi temuduga berjalan dengan lancar.
No comments:
Post a Comment