Páginas

Saturday 23 April 2016

YPKT Agih RM58.52 Juta Bagi Program Jaya Diri


Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) meluluskan pinjaman berjumlah RM58.52 juta bagi pinjaman modal menerusi Program Jaya Diri (PJD) sejak 1995 sehingga Mac lalu.

Dalam tempoh itu, seramai 17,473 peserta mendapat manfaat dan hanya 26 orang daripadanya gagal membayar balik pinjaman dengan jumlah keseluruhan melibatkan RM48,255.




Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Usahawan Koperasi dan kepenggunaan Negeri, Roslee Daud, berkata pinjaman yang ditawarkan sehingga RM20,000 berdasarkan kesesuaian projek  setiap peserta yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah terutama wanita serta suri rumah, iaitu di bawah RM3,000 sebulan atau RM600 perkapita.

“Bayaran balik yang ditetapkan adalah antara satu hingga lima tahun dengan kadar bayaran antara RM83 sehingga RM353 sebulan bergantung kepada jumlah pinjaman dan tempoh bayaran balik pinjaman,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan cek pinjaman modal di Dewan Utama YPKT, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, pengarah YPKT, Shafaruddin Mustaffa.

Di majlis itu, seramai 159 peserta  menerima pinjaman modal PJD yang berjumlah RM1.27 juta dari seluruh Terengganu.

Daripada jumah itu, kebanyakan peserta menjalankan projek perniagaan warung dan jualan makanan (38 peratus), jahitan (23.8), jualan langsung (10), pertanian (12), kedai runcit (9.7), pusat kecantikan dan kedai pengantin (3.6) dan penternakan (2.9).

Dalam pada itu, mengikut rekod peserta berjaya meningkatkan pendapatan sehingga RM500 sebulan (52 peratus), RM1,000 sebulan (28) dan  RM2,000 sebulan (10).

Menurut Shafaruddin, YPKT akan terus meningkatkan usaha untuk melahirkan usahawan dari kalangan peserta PJD dengan bantuan kursus serta bimbingan yang bersesuaian secara dalaman oleh pegawai serta kakitangan yang berkaitan dengan perusahaan mereka.

“Perkara ini sangat penting kerana kebanyakan peserta ini tidak pernah mendapat bimbingan keusahawanan sebelum penyertai PJD,”katanya.

No comments:

Post a Comment