Páginas

Tuesday 12 April 2016

SUK Terengganu Terima Pengiktirafan Lima Bintang

By Noraini Jusoh -  12 April 2016


Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu berjaya mencatat pencapaian membanggakan apabila diberi penarafan lima bintang dalam audit oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).


Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda berkata, SUK Terengganu menerima penarafan lima bintang untuk kriteria pengurusan, perkhidmatan teras dan pengurusan pelanggan.

Katanya, anugerah tersebut telah disampaikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa kepada Timbalan SUK (Pengurusan) Samiun Salleh yang mewakili beliau dalam satu Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Bintang Indeks Sistem Star Rating (SSR)-Agensi Sektor Awam Tahun 2015-2016 pada 6 April lalu di Putrajaya.

“Kejayaan SUK Terengganu memperolehi lima bintang dalam Indeks Penilaian Penarafan Bintang menunjukkan pentadbiran ini berada dalam landasan yang tepat dan mengamalkan sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan serta pengurusan organisasi yang cemerlang.

“Malah keputusan audit ini membuktikan keupayaan SUK Terengganu melaksanakan dasar-dasar kerajaan memerintah dan menterjemahkan kehendak mereka dalam pentadbiran negeri,” ujarnya ketika berucap sempena Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, kelmarin.

Osman berkata, pencapaian berkenaan juga menunjukkan cadangan penambahbaikan disaran MAMPU sebelum ini sentiasa dilaksanakan dalam setiap ruang dan peluang untuk meningkatkan prestasi pengurusan dan tahap penyampaian perkhidmatan yang cemerlang selaras dengan prinsip Transformasi Kerajaan yang diperkenalkan kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman di bawah agenda Transformasi Terengganu Baharu.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment