Tuesday, 26 April 2016
RM990,000 harta diselamatkan
JERTIH - Tindakan pantas anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jertih dan Besut berjaya menyelamatkan enam daripada 10 rumah teres satu tingkat di Taman Pelagat 2, dekat Kampung Padang Luas di sini, daripada terbakar dalam kejadian jam 12.42 tengah hari semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Mustafa Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.44 tengah hari memaklumkan kebakaran rumah teres tersebut.
Menurutnya, sepasukan 15 anggota bomba dari kedua-dua balai berkenaan diketuai beliau dengan dua jentera bomba bergegas ke tempat kejadian.
“Api dapat dikawal dalam tempoh 30 minit sekali gus menyelamatkan enam rumah lain di deretan itu. Api dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 2.11 petang," katanya.
Menurutnya, dua rumah termasuk sebuah yang dijadikan stor menyimpan peralatan sistem audio musnah 100 peratus, sementara dua lagi masing-masing 20 dan 10 peratus.
“Api dipercayai bermula dari sebuah rumah yang musnah 100 peratus itu, namun ketika kejadian tiada penghuni di rumah tersebut.
“Hanya sebuah rumah terlibat sahaja ada penghuni ketika kejadian, manakala 15 penghuni lagi tiada di rumah tetapi tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan,” katanya.
Mustafa berkata, kerugian dianggar mencecah RM400,000 dan kelengkapan diselamatkan bernilai RM290,000, sementara harta benda terancam dapat diselamatkan sebanyak RM700,000.
Mangsa sesak nafas
Sementara itu, mangsa, Syaiful Afandi Sidek, 25, berkata, ketika kejadian dia bersama anaknya, Shahrul Nizam, 6, berada di dalam rumahnya yang terletak bersebelahan rumah dipercayai mula terbakar.
Menurutnya, dia terhidu bau asap ketika berehat, sementara anaknya pula terlena di atas kerusi.
“Saya terlena dan tiba-tiba ada bau asap, bila terjaga saya lihat asap penuh dalam rumah dan saya susah bernafas.
“Saya nampak anak terlena depan komputer jadi cepat-cepat saya bawa dia keluar,” katanya.
Dia cuba memadam api di rumah jirannya itu yang dipercayai bermula dari bahagian dapur, namun berlaku satu letupan sebelum api marak dan merebak ke kiri serta kanan rumah itu.
Katanya, rumah yang dijadikan stor oleh bapanya, seorang pengusaha sewaan peralatan sistem audio juga musnah.
“Peralatan audio bernilai lebih RM200,000 itu sempat dibawa keluar tapi tak tahu lagi ia masih berfungsi atau tak sebab terkena haba api dan air ketika operasi memadam kebakaran,” katanya yang bersyukur dia dan anaknya selamat.
Mangsa, Zainum Mad Sek, 30, berkata, dia sembilan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana keseluruhan rumah sewanya musnah dalam kebakaran itu.
Menurutnya, ketika kejadian dia, ibu dan dua anaknya ke Rantau Panjang, Kelantan, sementara bapanya keluar bekerja dan anaknya ke sekolah.
“Saya keluar rumah jam 9.30 pagi lagi dan ketika dalam perjalanan pulang dari Rantau Panjang, jiran beritahu rumah sewa saya terbakar,” katanya.
Zainum berkata, dia diberitahu kebakaran bermula dari bahagian dapur rumahnya dan punca kejadian dipercayai akibat litar pintas.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan isteri Adun Jertih, Toh Puan Roslida Daud telah ke tempat kejadian sejurus kebakaran.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment