Páginas

Thursday, 7 April 2016

Terengganu Buru Kejuaraan Sukma Sarawak 2016

By Aida Abd Rahman -  6 April 2016

Ahmad Razif menyarung jaket Sukma Sarawak 2016 kepada Samiun dengan dibantu Rozi (kanan) sebagai simbolik pelantikan ketua kontinjen, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.
*****
Terengganu berhasrat mengatasi rekod tertinggi pungutan 62 pingat emas di Sukan Malaysia (sukma) Pahang 2012, sekaligus merampas kembali kejuaraan Sukma Sarawak 2016, Julai ini.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pihaknya menerusi Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) yakin sasaran itu dapat dicapai dengan komitmen dan latihan rapi selain perbelanjaan besar melibatkan RM8 juta bagi menjayakan temasya itu.

Katanya, kontinjen Terengganu  menyasarkan 121 pingat keseluruhan melibatkan 52 pingat emas, 28 perak dan 41 gangsa di kejohanan sepuluh hari  bermula 22 Julai ini.

“Melihat kepada sukan yang berpotensi menyumbang pungutan pingat seperti basikal, selain memanah dan perahu layar, Terengganu tidak mustahil mencapai sasaran lebih daipada 52 pingat emas dan mungkin sehingga 86 pingat (emas) keseluruhan.

“Kita membelanjakan kira-kira RM8 juta bagi tujuan pengurusan seperti pengangkutan dan juga latihan serta perbelanjaan di Sukma nanti dan ini tidak termasuk jumlah insentif ganjaran kepada atlet yang memenangi pingat sepanjang kejohanan,”katanya.


Beliau berkata demikian di Majlis Perjumpaan Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukma Sarawak Ke-18 2016, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan Dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat dan timbalannya yang juga ADUN Kota Putera, Mahdi Musa; Pengarah MSNT Terengganu, Ibni Amin Busu; beberapa ADUN serta ketua jabatan negeri.

Majlis itu turut memperkenalkan Ketua Kontinjen (Chief De Mission) Sukma Sarawak 2016, Pengarah Pejabat Tanah Dan Galian Negeri, Dato’ Mohd Noor Ibrahim, manakala timbalan ketua kontinjen pula, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Samiun Salleh.

Terengganu bakal menghantar  600 pegawai dan atlet bagi mewakili 24 jenis sukan di temasya 22 Julai hingga 31 Julai itu.

Untuk rekod, kali pertama Terengganu muncul juara Sukma ketika menjadi tuan rumah temasya itu pada 2008 dengan meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa.

Dua tahun kemudian, kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan juara di Sukma Melaka ( 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa), sebelum mencipta hatrik pada 2011 di Kuala Lumpur dengan pungutan  23 pingat emas, lima perak dan 10 gangsa.

Terengganu terus mendominasi kejuaraan pada Sukma Pahang 2012 (62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa). Bagaimanapun Selangor yang memperolehi 23 pingat emas, 17 perak dan 30 gangsa memintas Terengganu (19 emas, 13 perak dan 13 gangsa) untuk  merampas kejuaraan pada Sukma Ke-16 Kuala Lumpur 2013.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment