Sebahagian daripada peserta yang hadir pada Persidangan Wakaf Senusantara 2016 yang berlangsung di Primula Beach Hotel di sini, kelmarin. |
KUALA TERENGGANU - Skim Wakaf Tunai Terengganu yang mula dilancarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sejak Januari lalu, berjaya mengumpul dana kira-kira RM850,000 setakat ini.
Yang Dipertua Maidam, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, sambutan yang diterima itu cukup menggalakkan dan pihaknya kini akan memperluaskan promosinya ke jabatan-jabatan kerajaan, masjid dan syarikat swasta.
Menurutnya, melihatkan sambutan yang cukup baik itu, Maidam yakin skim itu mampu mengumpul dana sebanyak RM1 juta sebulan.
“Kita yakin sasaran ini mampu dicapai kerana buat masa ini sejak kita perkenalkan di Maidam, purata kakitangan memotong gaji sebanyak RM20.85 sebulan setiap orang. Kita bercadang untuk bekerjasama dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) agar kakitangan jabatan persekutuan boleh membuat potongan gaji melalui Pejabat Perbendaharaan Negara, kakitangan kerajaan negeri pula melalui Perbendaharaan Negeri.
“Selain itu, Maidam turut giat mempromosikan skim wakaf tunai ini di masjid dan kita yakin dengan lebih 500 buah masjid di negeri ini, kita mampu mengumpul RM100,000 sehari setiap kali solat Jumaat. Dana yang terkumpul ini, in sya-ALLAH kita akan gunakannya untuk kepentingan orang Islam dari segi sosio ekonomi, pendidikan, kesihatan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Persidangan Wakaf Senusantara 2016 yang dirasmikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Primula Beach Hotel di sini, kelmarin.
Dalam perkembangan berkaitan, Shaikh Harun berkata, pihaknya yakin Maidam akan dapat membangunkan 704 lot tanah wakaf yang bernilai RM111 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.
Jelasnya, walaupun sukar untuk membangunkan tanah wakaf mengikut hasrat pewakaf akibat kekurangan dana, namun beliau percaya ia mampu dibangunkan dengan adanya skim wakaf tunai berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Prof Datuk Dr Sudin Haron berkata, yayasan itu berperanan untuk membantu majlis agama Islam negeri-negeri dalam membangunkan tanah wakaf sedia ada, membuat wakaf baru dan menggunakan instrumen wakaf untuk membangunkan ekonomi Islam.
Menurutnya, YWM bersedia untuk membantu Maidam dengan kepakaran yang mereka ada dalam mencari pelabur untuk memajukan tanah wakaf sedia ada, selain melihat ada tanah-tanah yang bukan tanah wakaf yang boleh diwujudkan wakaf, seperti mewujudkan kilang dan ladang yang berbentuk wakaf.
No comments:
Post a Comment