Páginas

Sunday, 10 April 2016

Skim MyDeposit Memenuhi Aspirasi Anak Muda

Oleh : Mohd Faizal Salleh


KUALA LUMPUR, 8 April –  Keputusan kerajaan melalui Mesyuarat Majlis Perumahan Negara (MPN) untuk memulakan Skim Pembiayaan Deposit Rumah Pertama (MyDeposit) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razaka merupakan inisiatif terbaik bagi memastikan rakyat Malaysia khususnya golongan muda memiliki rumah sendiri.


Exco Pemuda UMNO Malaysia, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata skim MyDeposit yang diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan sederhana (M40) yang memperolehi pendapatan isi rumah antara RM 3,000 hingga RM 10,000 adalah amat penting bagi membolehkan mereka membeli rumah yang berharga RM 80,000 hingga RM 500,000 kerana kerajaan akan membantu sehingga RM 30,000 untuk setiap permohonan.

“Saya bagi pihak Biro Hal Ehwal Bandar & Perumahan, Pemuda UMNO Malaysia merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih di atas inisiatif baru kerajaan yang menjadikan isu perumahan sebagai isu utama untuk ditangani segera.

“Ini adalah antara perjuangan Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan selain memohon kerajaan membantu duit sewaan rumah kepada golongan muda yang kurang berkemampuan pada awal tahun 2014 yang lalu.

“Saya juga mengucapkan terima kasih di atas ketetapan kerajaan melalui Pengubahsuaian  Bajet 2016 yang lalu iaitu penjualan rumah berharga RM 300,000 ke bawah adalah hanya untuk pembeli rumah pertama sahaja yang mula dilaksanakan pada bulan ini,” ujarnya yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar Dan Perumahan, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Beliau mengharapkan golongan muda di negara ini tidak sesekali melepaskan peluang yang diberikan kerajaan untuk memiliki rumah sendiri selepas ini dengan pelbagai inisiatif yang telah disediakan.

“Saya juga berharap agar pihak kerajaan khususnya Majlis Perumahan Negara (MPN) dapat memastikan usaha dan inisiatif melalui Skim MyDeposit ini dapat membantu serta mencapai KPI yang telah ditetapkan dengan mengurangkan jumlah rakyat khususnya orang muda yang tidak memiliki rumah.

“Pihak kerajaan juga perlu membuat pemantauan secara berterusan supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan di atas Skim My Deposit yang diumumkan kerajaan ini khususnya pemaju perumahan agar tidak menaikkan harga jualan rumah,” ujarnya lagi.

Sehubungan dengan itu, tambah beliau pihak kerajaan perlu memberi penekanan yang serius serta mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pemaju perumahan yang menaikkan harga jualan rumah termasuk menyenaraihitam syarikat-syarikat tersebut.

–MediaUMNO

No comments:

Post a Comment