Páginas

Wednesday, 27 April 2016

Jangan Cuba Tangguk Di Air Keruh Perkembangan Politik Terengganu – Johari

Oleh : Azman Abas

KUALA LUMPUR, 26 April – Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Mohd Johari Abu Bakar berharap mana-mana pihak agar tidak cuba menangguk di air keruh berhubung dengan perkembangan terkini di negeri itu khususnya soal politik.


Menurut beliau janganlah ada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan termasuk mengeruhkan lagi suasana kerana apa yang penting hari ini adalah perjalanan kerajaan negeri untuk kepentingan semua pihak.

Terengganu Darul Iman“Kita percaya semestinya ada pihak-pihak tertentu yang cuba memainkan pelbagai berita yang mengelirukan dan juga macam-macam yang kita dengar. Jangan timbulkan pelbagai spekulasi yang tidak sepatutnya.

“Apa yang berlaku janganlah ditokok tambah dengan mengaitkan parti politik dan sebagainya lagi. Kita hanya mahu sebuah kerajaan negeri yang stabil untuk manfaat bersama,“ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Datuk Seri Najib Tun Razak akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dalam masa terdekat berhubung krisis kepimpinan yang berlaku di negeri itu.

Justeru, Perdana Menteri berharap tidak ada mana-mana pihak yang membuat spekulasi berhubung kedudukan Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman.

“Selepas majlis menghadap itu saya akan keluarkan kenyataan. Saya berharap kita tidak akan membuat spekulasi yang bukan-bukan.

“Kerajaan Terengganu akan berjalan seperti biasa. Apa-apa perkembangannya akan saya maklumkan kemudian,” katanya kepada pemberita di Kuching, semalam.

Johari yang juga Ketua Pemuda Hulu Terengganu seterusnya menambah biarlah pucuk pimpinan parti mengambil segala yang perlu dalam perkara terbabit adn buat masa ini masing-masing tumpulah kepada tanggungjawab yang ada di depan mata.

Katanya lagi tidak perlulah menjadi mereka yang cuba mengambil kesempatan terhadap apa yang berlaku itu kerana dikhuatiri boleh menimbulkan pelbagai persepsi dan perkara yang tidak sepatutnya.

“Harapan kita begitulah…jangan ada mana-mana pihak sekalipun cuba ambil kesempatan supaya apa yang berlaku hari ini menemui jalan penyelesaian yang sebaiknya demi kepentingan dan manfaat bersama,“ katanya.

Dalam perkembangan lain sempena hari keputeraan Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, beliau merafak sembah setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu, Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang Di-pertuan bagi negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya sempena Hari Keputeraan Baginda Tuanku ke-54. Semoga Allah lanjutkan usia dan memberkati pemerintahan Tuanku.

–MediaUMNO

No comments:

Post a Comment