Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan; Komunikasi dan Multimedia Negeri, A Latiff Awang berkata, DITC itu akan dijadikan sebagai pusat latihan berimpak tinggi.
“Kita mempunyai kelebihan di DITC ini kerana ianya merupakan satu-satunya pusat latihan yang berkonsepkan hotel dan juga digabungkan dengan persekitaran cantik.
“DITC akan dijadikan sebagai tempat kursus khususnya kepada penjawat awam, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K), generasi belia, imam serta bilal masjid dan sebagainya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kerja Membaik Pulih Bangunan DITC Teluk Kalong, Kemaman, hari ini.
A Latiff berkata, modul kursus dan latihan untuk DITC telahpun siap dibangunkan oleh TSIS melalui perbengkelan serta makmal yang diadakan dengan nama Semangat Darul Iman (Sedar).
“Kandungan modul ini akan diberi penekanan berasaskan lapan prinsip Transformasi Terengganu Baharu (TTB) kerana ianya merangkumi penekanan kepada integiriti, jati diri dan pembentukan sahsiah.
“Sesuai dengan prinsip TTB tersebut, diharapkan agar kita dapat transformasikan pemikiran rakyat Terengganu kerana ianya penting untuk pembangunan modul insan supaya kita sedia menerima pembaharuan demi pembangunan negeri,” katanya.
Projek baik pulih DITC yang dijangka siap pada bulan ini telah berjaya disiapkan lebih awal dari tempoh yang ditetapkan iaitu pada 17 Mac lalu.
Pembaikan dalam projek tersebut antaranya melibatkan bangunan pentadbiran, bangunan serbaguna, cafeteria, gymnasium, dewan utama serta bangunan asrama yang mengandungi 200 bilik.
Teganukita/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment