Páginas

Monday 5 October 2015

Persatuan Permotoran Digesa Bantu Tangani Gejala Mat Rempit

AUTHOR: SURIATI ALI 4 OCTOBER 2015

Ahmad Razif bersama ahli Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu selepas Majlis Makan Malam dan Perasmian Terengganu Bike Week (TBW) 2015 di Duyong Marina, Kuala Terengganu, malam tadi. Foto oleh Harish Fadzillah
*****
Kerajaan negeri meminta mana-mana persatuan pemotoran di Terengganu mengadakan seminar atau bengkel khas bagi membincangkan isu-isu berkaitan, termasuk memikirkan kaedah terbaik menangani gejala mat rempit.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata dia tidak mahu anak-anak muda terus bergadai nyawa berlumba secara haram di jalan raya kerana pastinya membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain.

Katanya, pihak itu perlu bersama-sama kerajaan mencari kaedah terbaik menangani masalah itu, termasuk menasihati mereka berlumba secara sihat di kawasan yang dibenarkan pihak berkuasa tempatan.

“Kerajaan memahami jiwa golongan muda yang mahukan aktiviti lasak, menyedari hakikat itu pelbagai usaha dijalankan termasuk bercadang membina litar lumba berhampiran Stadium Tertutup, Gong Badak.


“Lebih banyak acara sukan permotoran akan dianjurkan agar belia berpeluang menonjolkan bakat mereka bukan sahaja untuk kejohanan di peringkat negeri, malah di peringkat negara dan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Terengganu Bike Week (TBW) 2015 di Duyong Marina, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee dan Presiden Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud.

Seramai 1,500 peserta dari dalam dan luar negara memeriahkan TBW yang diadakan selama tiga hari bermula 2 Oktober lalu.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment