Páginas

Monday, 12 October 2015

Jadikan Sukan Sebagai Budaya – Perdana Menteri

SHAH ALAM, 10 Okt -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kiri) bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor melakukan sesi memanaskan badan selepas perasmian Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2015 di Padang Kawad, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sabtu. Turut sama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (dua kanan), Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh (tiga kanan belakang Najib) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan (kanan). --fotoBERNAMA (2015) HAK CIPTA TERPELIHARA
*****
SHAH ALAM, 10 Okt – Rakyat Malaysia perlu menjadikan sukan sebagai satu budaya dan tidak hanya menjalankan aktiviti itu pada hari sambutan sahaja, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Beliau berkata sekiranya sukan dijadikan sebagai budaya dan cara hidup, negara akan melahirkan jaguh sukan yang hebat di mata dunia.

“Hari ini kita ada pemain nombor satu dalam skuasy dan badminton tetapi siapa pengganti selepas (Datuk) Nicol David dan (Datuk) Lee Chong Wei…ia jadi tanda tanya.

“Jika kita aktif, (persoalan) budaya sukan dengan sendirinya terjawab sebab ratusan anak muda akan tampil ambil bahagian di peringkat tertinggi dunia,” katanya ketika merasmikan Hari Sukan Negara yang dihadiri kira-kira 20,000 orang di padang kawad Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor Datuk Seri Noh Omar dan Naib Canselor UiTM Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Perdana Menteri berkata Malaysia ketika ini masih belum mampu menjadi jaguhsukan dunia walaupun menganjurkan pertandingan sukan antarabangsa seperti Sukan SEA dan juga Sukan Koman wel.

“Kalau dari segi penganjuran memang tidak boleh saingi Malaysia, nombor satu, tetapi dari segi keputusan pertandingan, kejayaan pingat Malaysia belum sampai ke tahap negara bersukan.

“Australia contohnya, jumlah penduduk 30 juta, lebih kurang rakyat Malaysia kira-kira 30 juta tetapi dalam sukan dominasi mereka lebih besar dan tinggi kerana asasnya…mereka berbudaya sukan,” katanya.

Perdana Menteri dalam pada itu berkata menjadikan sukan sebagai budaya akan mengurangkan bilangan rakyat Malaysia yang mengalami tekanan dan berlebihan berat badan.

“Ramai juga akan berpeluang mendapat pekerjaan dalam bidang sukan seperti jurulatih dan perubatan sukan. Ini hasrat kita,” katanya.

Sambutan Hari Sukan Negara diisytiharkan pada setiap Sabtu minggu kedua Oktober setiap tahun oleh Perdana Menteri pada 24 Mac lepas.

Sambutan ini merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan yang ia satu langkah proaktif dalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’.

Hari Sukan Negara diisi dengan lebih 17,000 aktiviti sukan dan riadah untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mengambil bahagian dalam meraikan sambutan ini yang diraikan secara serentak di seluruh negara.

Semua pihak melalui penglibatan sektor awam, swasta dan rakyat keseluruhannya berganding bahu menganjur dan menyertai program serta aktiviti sukan dan kecergasan pada hari berkenaan.

MediaUMNO

No comments:

Post a Comment