Ahmad Razif (depan, dua dari kiri) menyertai acara senamrobik bersama 2,000 peserta lain sempena pelancaran Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu, di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, UMT, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah
*****
Terengganu berhasrat menganjurkan Hari Sukan Negeri secara serentak seluruh daerah pada setiap bulan sebagai usaha merakyatkan sukan di negeri ini.Program sebagai menyahut kempen oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu juga bakal dilaksanakan mengikut segmen dan jenis sukan yang berbeza pada setiap bulan, selain disesuaikan juga dengan penganjuran acara pelancongan di peringkat negeri pada masa itu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, antara segmen sukan tertentu akan diperkenalkan seperti berjalan kaki, berbasikal dan swimathon yang boleh disertai oleh pelbagai peringkat umur sebagai menggalakkan amalan serta gaya hidup yang sihat, sekaligus mengelak serangan penyakit berbahaya.
“Usaha itu sebagai satu langkah memberi kekuatan jasmani di kalangan rakyat dan juga menghindari daripada serangan penyakit berbahaya seperti diabetes, darah tinggi, jantung dan strok yang banyak menyerang di kalangan rakyat Terengganu pada masa kini.
“Kita juga sangat komited untuk menganjurkan pelbagai acara sukan ini kerana mahu menyahut kempen yang diadakan oleh Kementerian Belia dan Sukan,”katanya.
Turut hadir, Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia Negeri, Dato’ Rozi Mamat serta kira-kira 2,000 peserta di kalangan penuntut institusi pengajian tinggi dan kakitangan serta pelajar sekolah di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Dalam pada itu, lebih 130,000 orang atau 10 peratus daripada keseluruhan penduduk Terengganu dijangka menyertai pelbagai acara sukan sempena Hari Sukan Negara yang berlangsung serentak seluruh negeri, hari ini.
Menteri Besar berkata, program yang sangat bermanfaat itu bertujuan merealisasikan hasrat dan inspirasi KBS bagi menggalak dan menjadikan Malaysia sebagai negara yang memiliki rakyat yang sentiasa mengamalkan budaya bersukan.
Teganukita/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment