Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Dr. Jalaluddin Harun, berkata sumbangan Terengganu dalam industri perkayuan IBS dan industri gaharu cukup besar.
Menurutnya, rekod itu sudah pasti dapat membantu negara mencapai sasaran dasar Industri Perkayuan Negara.
Katanya, MTIB menyasarkan RM21 bilion jumlah eksport produk berasaskan kayu ke pasaran global sepanjang tahun ini berbanding RM20.52 bilion tahun lalu.
“Berdasarkan rekod, industri perkayuan tidak mengalami kemerosotan kadar eksport walaupun ketika ini ekonomi negara kurang stabil, situasi itu berlainan dengan industri kelapa sawit dan getah yang dikatakan agak merosot.
“Melihat situasi itu, pihak kami yakin industri perkayuan mampu mencapai nilai eksport sehingga RM53 bilion menjelang 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Pameran Perkayuan Antarabangsa Terengganu, di Pusat Dagangan Terengganu, Kuala Terengganu, hari ini.
Hadir merasmikan program yang berlangsung selama tiga hari, berakhir hari ini itu, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman. Hadir sama, Pengurus Besar Terengganu Timber Industry and Training Centre (TTITC), Mejar Haji Ajlan Mohammad.
Penganjuran pameran kali kedua itu mendapat sambutan lebih 30,000 pengunjung tempatan dan luar Terengganu dengan penglibatan sebanyak 50 syarikat kerajaan dan swasta mempromosi produk masing-masing.
Sebanyak RM1 juta hasil jualan dalam rundingan manakala RM300,000 jualan produk berasaskan kayu berjaya direkodkan (TTITC) sepanjang program berlangsung.
Teganukita/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment