Páginas

Thursday, 15 October 2015

Pesona Terengganu 2015 Masyhurkan Jenama Negeri

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 13 OCTOBER 2015


Pesona Terengganu 2015 yang dijadualkan berlangsung selama lima hari di Kuala Lumpur, bakal menjadi platform yang mampu memasyhurkan jenama negeri di persada negara mahupun dunia menerusi tiga segmen utama, iaitu `Consumer Show’, ‘Trade Show’ dan ‘Terengganu Kitchen’.


‘Trade Show’ akan memfokuskan kepada aktiviti penyampaian berkaitan Industri Kecil Sederhana (IKS) dan keusahawanan, pendidikan dan sains, pertanian, pelancongan dan kebudayaan serta belia dan sukan, ‘Consumer Show’ pula melibatkan promosi serta jualan produk di kalangan 100 orang usahawan dari Terengganu, manakala  ‘Terengganu Kitchen’ bertujuan memperkenalkan variasi makanan tradisional Terengganu daripada 30 pengusaha makanan tempatan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kesemua keistimewaan yang tidak dapat ditemui di mana-mana karnival lain itu, bakal diadakan di Dataran Merdeka dan Dataran Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kuala Lumpur bermula pada 29 Oktober hingga 2 November ini.

“Dalam istilah Terengganu Pesona membawa makna `syok’ ataupun  tertarik dan menarik, di mana ianya sejajar dengan slogan pelancongan negeri ini sebagai  Negeri Cantik, Budaya Menarik yang memaparkan pelbagai tarikan dan keistimewaan produknya yang pasti mampu menambat hati pengunjung.

“Pesona Terengganu 2015 akan memperkuatkan lagi usaha mempromosi Terengganu di bidang pelancongan, seiring dengan Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017,  yang turut membantu melonjakkan kehidupan dan ekonomi rakyat Terengganu,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berlintas langsung sebagai tetamu menerusi segmen Malaysia Hari Ini di Sri Pentas, TV3, Kuala Lumpur, pagi ini.

IMG-20150908-WA0003

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri sudah bersedia dari sekarang mempromosi Terengganu menerusi pelbagai medium dan juga menambahbaik infrastruktur serta kemudahan termasuk tempat penginapan untuk menampung jumlah pengunjung sempena penganjuran TMT 2017.

“Jangan lupa jenama baru yang diperkenalkan Terengganu seperti ICT, iaitu `ikan celup tepung’  dan KLCC iaitu `kepok lekor cicoh colek’, katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri memberi fokus penjenamaan produk dan destinasi pelancongan berteraskan empat kluster produk pelancongan iaitu pulau dan pantai, Kuala Terengganu – Bandaraya Warisan Pesisir Air, Tasik Kenyir dan lain-lain produk yang merangkumi seni dan budaya, sejarah dan warisan, hutan rekreasi dan air terjun, Setiu Wetlands serta penyu.

Katanya, pulau-pulau di seluruh Terengganu seperti Pulau Kapas, Redang, Lang Tengah, Perhentian dan Tenggol sentiasa menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara, malah 13 buah pulau di negeri itu adalah di bawah Taman Laut.

Selain itu, Tasik Kenyir yang mengandungi  340 pulau  kecil merupakan satu kluster utama negeri Terengganuyang diperlengkapkan dengan pelbagai produk pelancongan seperti Santuari Kelah, Kenyir Elephant Conservation Village, Taman Tema dan Kenyir  Island Hopping yang merangkumi Pulau Herba, Pulau Rama-rama, Pulau Burung dan Pulau Orkid dan juga Kedai bebas Cukai yang dijangka akan beroperasi pada tahun 2016.

Beliau seterusnya mengalu-alukan kedatangan orang ramai terutama mereka yang berada di Lembah Kelang untuk menerokai keunikan dan keistimewaan yang bakal ditampilkan sepanjang karnival lima hari itu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Terengganu juga bakal menjadi tumpuan penggemar seni gamelan seluruh dunia apabila menjadi tuan rumah untuk kali keempat  bagi Festival Gamelan Sedunia  bermula 24 hingga 26 Oktober  ini  bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.

Di temasya itu juga, 13 kumpulan gamelan tempatan dan luar negara seperti Kumpulan Kayu Gangsa UK Malay Gamelan, Nottingham, United Kingdom; Kumpulan Sanggar Bramawijaya, Sukawati, Bali, Indonesia dan Kumpulan Orkestra Tradisional Malaysia, Istana Budaya akan membuat persembahan.

Sementara sebelum itu,  pada 20 hingga 21 Oktober  akan diadakan pertandingan Gamelan Melayu Kebangsaan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus yang akan disertai sebanyak 14 kumpulan gamelan.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment