Páginas

Monday 5 October 2015

Peruntukan RM997,000 Jayakan Hari Sukan Negara

AUTHOR: NORAINI JUSOH 4 OCTOBER 2015


Terengganu menerima peruntukan sebanyak RM997,000 dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menjayakan sambutan Hari Sukan Negara yang akan disambut secara serentak di seluruh negara pada 10 Oktober ini.


Bantuan diserahkan kepada beberapa pihak termasuk semua pejabat daerah di negeri ini untuk diagihkan kepada Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (J3K), Pejabat Belia dan Sukan Negeri serta termasuk Kelab Sukan Komuniti di setiap Parlimen.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, peruntukan itu bagi membantu membiayai pelbagai aktiviti yang akan diadakan sempena sambutan tersebut di semua peringkat di negeri ini.

“Peruntukan yang kita terima adalah sebanyak RM997,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan. Agihan dibuat kepada semua pihak terlibat bagi membuat persiapan sambutan hari Sukan Negara pada 10 Oktober nanti.

“Ini termasuk bagi membiayai acara-acara sukan yang akan diadakan di peringkat J3K, daerah dan juga negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Cek Sempena Bantuan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri di Wisma Darul Iman, hari ini.

Sambutan Hari Sukan Negara telah di isytiharkan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun seperti yang diumumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, pada 24 Mac 2015.

Sambutan ini merupakan suatu inisiatif KBS di mana ia adalah satu langkah proaktif didalam proses transformasi ke arah mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah ‘Negara Bersukan’.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment