Karnival julung kali yang diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur menyediakan pakej Jejak Pelancongan itu bakal menyajikan pelbagai aktiviti seni budaya dan warisan negeri seperti persembahan muzik gamelan, demonstrasi menjahit atap, tenunan songket, batik, anyaman kercut, ukiran kayu dan juga tumbuk emping.
Pengurus Promosi Sekretariat Pesona Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani, berkata pelbagai pakej pelancongan dan penginapan dengan harga yang istimewa juga akan ditawarkan khas untuk pengunjung Pavilion Pelancongan Pesona Terengganu.
“Pavilion Pelancongan yang diterajui oleh Sekretariat Pesona Terengganu ini juga disertai sama oleh 13 agensi-agensi kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan pelancongan.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri menyeru semua untuk sama-sama menerokai keindahan produk pelancongan dan menikmati seni budaya warisan Terengganu sepanjang lima hari bermula 29 Oktober nanti,” katanya kepada teganukita.
Ahmad Fathil berkata, Terengganu memberi fokus penjenamaan produk dan destinasi pelancongan berteraskan empat kluster produk pelancongan iaitu pulau dan pantai, Kuala Terengganu – Bandaraya Warisan Pesisir Air, Tasik Kenyir dan lain-lain produk yang merangkumi seni dan budaya, sejarah dan warisan, hutan rekreasi dan air terjun, Setiu Wetlands serta penyu.
“Tasik Kenyir yang merupakan salah satu kluster utama Negeri Terengganu telah diperlengkapkan dengan pelbagai produk pelancongan seperti Santuari Kelah, Kenyir Elephant Conservation Village, Taman Tema, Island Hopping yang merangkumi Pulau Herba, Pulau Rama-rama, Pulau Burung dan Pulau Orkid dan juga Kedai Bebas Cukai yang dijangka beroperasi pada awal 2016.
“Setiu Wetlands atau Tanah Bencah Setiu pula menjadi satu-satunya tanah lembap di Malaysia yang mempunyai sembilan ekosistem yang saling berhubungan iaitu laut, pantai, lumpur, lagun, muara, sungai, pulau, hutan di sepanjang pantai dan paya bakau serta kepelbagaian ekosistem ini menyebabkan ada yang merasakan sama seperti berada di belukar hutan renek Afrika,” katanya.
Tambahnya, pantai berpasir, pulau pasir dan tebing sungai ini adalah tempat bersarang bagi pembiakan terbesar tuntung di Malaysia dari spesies terrapin dicat di sini juga adalah tempat antara beberapa tempat pendaratan penyu hijau yang di ambang kepupusan.
Teganukita/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment