Páginas

Wednesday, 7 October 2015

Penemuan Baharu Dalam Makmal Transformasi Pendidikan

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 5 OCTOBER 2015


Kerajaan negeri menyasarkan Makmal Penyediaan Rangka Tindakan Transformasi Pendidikan Terengganu 2016-2020 mampu mendapatkan `penemuan baru’ dalam memperkasakan bidang pendidikan negeri, selaras dengan prinsip kelapan Transformasi Terengganu Baharu (TTB).


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata selain penemuan baharu itu, antara tujuan makmal berkenaan juga menghasilkan kertas kerja bagi mendapatkan sumber kewangan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan korporat bagi menambah peruntukan sedia ada kerajaan negeri untuk bidang pendidikan.

“Walaupun kita menghadapi masalah kewangan berikutan hasil negeri yang semakin berkurangan, tetapi ia tidak akan menjadi masalah kerana banyak syarikat korporat akan membantu sektor pendidikan negeri seperti syarikat Petronas dan ExxonMobil menerusi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Makmal Penyediaan Rangka Tindakan Transformasi Pendidikan Terengganu 2016-2020, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Khas, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib.

Dalam pada itu, Menteri Besar juga tidak menolak faktor utama yang menyebabkan anak Terengganu gagal meneruskan kecemerlangan  di peringkat universiti adalah kelemahan menguasai bahasa Inggeris yang turut dikesan menerusi  peperiksaan Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET).

“Kita tidak mahu anak Terengganu hanya cemerlang di peringkat sekolah rendah dan menengah sahaja, tetapi  apabila sampai ke peringkat universiti mereka tidak cemerlang.

“Jadi perlu ada kesinambungan dan bengkel ini sebagai platform untuk kita mendapat formula serta ramuan untuk meneruskan kecemerlangan anak Terengganu. Biar ada kesinambungan supaya akhirnya anak-anak Terengganu ramai yang mendapat `kelas pertama’ dalam bidang-bidang yang diceburi,”katanya.

Menurutnya, menerusi makmal itu juga kerajaan negeri melihat idea-idea baharu, selain menambahbaik  pelbagai program yang sudah dilaksanakan seperti ETA (pembantu Guru Bahasa Inggeris), Trenglish, Makmal Bahasa serta  program kerjasama dengan Petronas dan juga Exxonmobil.

Katanya makmal itu turut merealisasikan konsep inklusif, suara rakyat suara keramat apabila menggabungkan idea dan kepakaran semua pihak dari bidang akademik dan juga bidang lain untuk membawa hala tuju yang sama demi memperkasakan pendidikan di seluruh Terengganu.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment