Páginas

Monday 5 October 2015

Terengganu Sedia Bekal Topeng Muka Jika Jerebu Berlarutan

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 4 OCTOBER 2015


Kerajaan negeri bersedia membekalkan topeng muka secara percuma dengan segera kepada penduduk khususnya pelajar sekolah sekiranya masalah jerebu masih berlarutan.


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, kerajaan negeri sangat prihatin dan sentiasa menyokong usaha-usaha untuk menangani masalah itu bagi memastikan penduduk Terengganu terhindar daripada serangan penyakit akibat masalah jerebu yang sedang melanda seluruh negeri pada masa kini.

“Saya sudah meminta Dato’Pehimi (Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Negeri, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof) supaya bersedia sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh Terengganu berada pada tahap berbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan ramai.

“Mungkin pada peringkat awal pembahagian topeng muka kita laksanakan di sekolah-sekolah terlebih dahulu.  Kita akan melihat dari semasa ke semasa kadar IPU dan dalam tempoh sehari dua lagi, jika keadaan tidak berubah, insha-Allah pembahagian topeng muka akan kita lakukan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Makmal Penyediaan rangka Tindakan Transformasi Pendidikan Terengganu 2016-2020, di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Khas, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib.

Dalam perkembangan yang sama, kerajaan negeri  menyokong penuh keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya sekolah ditutup dua hari, mulai esok berikutan masalah jerebu yang teruk melanda beberapa negeri termasuk  seluruh Terengganu pada masa kini.

Ahmad Razif berkata tindakan itu amat tepat kerana kesihatan pelajar perlu diutamakan, memandangkan mereka terdedah kepada jerebu apabila banyak melakukan aktiviti luar kelas.

“Kita bimbang apabila pelajar terdedah dengan jerebu akan emmberikan impikasi yang lain, mungkin tidak memberi kesan pada masa yang singkat dan memberi kesan pada jangka masa lebih panjang.

“Saya dapat makluman, ramai yang mula diserang penyakit asma dan batuk-batuk terutama yang mengalami alergik akibat cuaca yang tidak baik dan pastinya akan memudaratkan kesihatan mereka,” katanya.

Sekolah di seluruh Malaysia kecuali di beberapa negeri diarah tutup selama dua hari dari 5 hingga 6 Oktober 2015 akibat masalah jerebu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, arahan itu dikecualikan bagi sekolah di Labuan, Kelantan, Sarawak dan Sabah.

Teganukita/MediaJertih

No comments:

Post a Comment