Dato' Seri Ahmad Razif
*****
Tiga program utama disajikan kepada pengunjung sempena Pesona Terengganu 2015 yang akan diadakan pada 29 Oktober ini di Dataran Merdeka dan Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Program yang berlangsung sepanjang lima hari tersebut akan memperkenalkan Terengganu melalui ‘Consumer Show’, ‘Trade Show’ dan ‘Terengganu Kitchen’ serta beberapa program sampingan yang lain.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata ‘Trade Show’ akan memfokuskan kepada aktiviti penyampaian maklumat, ‘Consumer Show’ pula melibatkan promosi serta jualan produk Industri Kecil Sederhana (IKS) manakala ‘Terengganu Kitchen’ bakal memperkenalkan makanan tradisional Terengganu.
“Bagi ‘Trade Show’, lapan segmen difokuskan antaranya IKS dan keusahawanan, pendidikan dan sains, pertanian, pelancongan dan kebudayaan serta belia dan sukan.
“Berbeza bagi ‘Consumer Show’, penglibatan seramai 100 orang usahawan dari Terengganu dibawa menyertai Pesona Terengganu 2015 dalam usaha kerajaan mempromosikan produk keluaran mereka kepada pengunjung.
Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman melawat tapak pameran Pesona Terengganu 2015
“Di Dataran DBKL pula, program ‘Terengganu Kitchen’ yang melibatkan 30 usahawan makanan tempatan diadakan bagi memperkenalkan produk makanan tradisional Terengganu seperti nasi dagang, keropok lekor, ikan celup tepung dan banyak lagi,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melawat tapak pameran Pesona Terengganu 2015 di DBKL, Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Uasahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, Roslee Daud dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman.
Ahmad Razif berkata, dengan adanya program sebegini diharapkan dapat menjadi permulaan dalam mempromosikan Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2017.
“Ini merupakan projek pertama kerajaan negeri dalam mempromosikan TMT 2017. Selepas selesai di Kuala Lumpur, kita bercadang untuk adakan di kawasan lain termasuk negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.
“Perkara ini akan diberi penekanan bagi merialisasikan TMT 2017 berjalan dengan jayanya dengan promosi yang diberi oleh semua pihak,” katanya.
Teganukita/MediaJerteh
No comments:
Post a Comment