Páginas

Thursday 22 October 2015

Terengganu Tubuh Yayasan Pembangunan Sukan Negeri Terengganu

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 21 OCTOBER 2015

Ahmad Razif berbual dengan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Ramlee Abu Bakar dan pegawai syarikat itu, sejurus Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail
*****
Terengganu bakal  menubuhkan  Yayasan  Pembangunan Sukan Negeri Terengganu (YPSNT) bermula tahun depan, sebagai platform untuk menyelaras sumbangan, penajaan serta pembangunan sukan negeri secara keseluruhannya.


Menteri Besar, Dato’ Seri  Ahmad Razif Abd Rahman, berkata penubuhan YPSNT yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda itu mampu melonjakkan lagi kegemilangan sukan di persada kebangsaan mahupun antarabangsa, selain menjaga kebajikan atlet negeri ini.

“Apabila wujudnya yayasan ini, semua penajaan daripada GLC (syarikat berkaitan kerajaan) tidak akan lagi menaja pada satu-satu sukan, sebaliknya semua akan disatukan di bawah Tabung Yayasan Pembangunan Sukan Negeri.

“Tabung ini akan mengagihkan bantuan yang terkumpul mengikut keperluan bidang-bidang sukan yang ada di Terengganu seperti bola sepak, hoki, endurance, motocross. Selain itu, acara yang berkait dengan sukan juga akan diuruskan oleh yayasan ini juga,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda.

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk membina asrama atlet yang berkonsepkan hotel melibatkan peruntukan RM83 juta menerusi YPSNT berhampiran Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Terengganu, tidak lama lagi.

Katanya, hotel yang dilengkapi pelbagai fasiliti seperti rumah berkonsep apartment, dewan, pusat gimnasium dan kolam renang itu mampu menampung kapasiti 1,000 pengunjung pada satu-satu masa.

Tambahnya, satu unit rumah mengandungi empat bilik yang boleh didiami dua orang sebilik itu juga boleh dijadikan sebagai pusat penginapan kepada pengunjung dari luar Terengganu.

“Kemudahan terbaharu itu juga mampu membantu menjana ekonomi  dan disalurkan ke dalam  tabung yayasan (YPSNT, ) kerana sekarang sudah tiba masanya bidang sukan tidak hanya bergantung kepada sumber kewangan kerajaan negeri semata-mata.

“Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga akan merancang pelbagai usaha bagi menjana pendapatan kepada tabung yayasan sukan ini,”katanya.

Menurutnya, inisiatif itu juga sebagai suatu pengiktirafan kerajaan terhadap pembangunan bidang itu selaku kuasa utama sukan negara masa kini, sekaligus  bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan lapangan berkenaan pada masa akan datang.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment