Páginas

Sunday 11 October 2015

Terengganu Perintis Bangunkan Gimnasium Rakyat Gabung Tiga Komponen

AUTHOR: AIDA ABD RAHMAN 10 OCTOBER 2015

Ahmad Razif (depan, empat dari kiri) bersama peserta berbasikal sempena pelancaran Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu, di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, UMT, hari ini. Foto oleh Harish Fadzillah
*****
Terengganu bakal menjadi negeri perintis di negara ini yang membangunkan gimnasium rakyat dengan menggabungkan tiga komponen iaitu kemudahan bersukan, pusat rehalibitasi dan hemodialisis di seluruh daerah, bermula bulan depan.


Kemudahan kesihatan secara percuma kepada rakyat yang memerlukan terutama penghidap penyakit kronik, akan dibangunkan mengikut fasa di setiap daerah menerusi kerjasama dengan Kerajaan Pusat.

Sehingga kini, terdapat tiga pusat rehalibitasi di Terengganu, iaitu di Seberang Takir dan  Batu Rakit (Kuala Terengganu) serta  Bandar Al-Muktafi Billah Shah (Dungun).

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata dalam jangka masa terdekat, kemudahan perubatan yang sama juga dijangka akan dibangunkan di Besut (Jertih)  dan diikuti Marang.

“Pusat-pusat rehabilitasi sedia ada ini akan menggabungkan tiga komponen termasuk pusat hemodialisis dan juga gimnasium rakyat.

“Sebagai contoh kita akan melaksanakan Pusat Rehalibitasi Seberang Takir dahulu sebagai model. Bagaimanapun di Seberang Takir kita menggunakan konsep CSR (tanggungjawab sosial korporat), di mana kebanyakan peralatan serta bangunan disumbangkan oleh pihak lain, manakala Maidam (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu)  pula menyediakan mesin dan kerajaan negeri pula hanya menyiapkan beberapa kelengkapan serta fasiliti, sekaligus mengurangkan kos yang ditanggung kerajaan negeri ,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu, di Kompleks Sukan Tengku Muhammad Ismail, Universiti Malaysia Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Speaker DUN, Dato’ Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda.


Sehubungan itu juga, Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Pusat yang  diwakili Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, pada 22 Oktober ini bagi membangunkan kemudahan kesihatan berkenaan di seluruh daerah.

Tambahnya, MoU sebagai suatu perkongsian pintar antara kedua-dua pihak,  dengan kerajaan negeri menyediakan kelengkapan dan fasiliti, manakala Kerajaan Pusat menyediakan kepakaran dan kakitangan bagi memastikan usaha memberi perkhidmatan perubatan terbaik dan meningkatkan kesejahteraan rakyat di bidang kesihatan berjalan lancar.

Selain itu, Ahmad Razif turut mengalu-alukan pembabitan syarikat korporat dan badan berkaitan kerajaan untuk menyumbang menerusi tanggungjawab sosial korporat mereka bagi sama-sama membangunkan fasiliti itu.

Teganukita/MediaJerteh

No comments:

Post a Comment