Páginas

Wednesday 30 September 2015

Malaysia Melonjak Ke Kedudukan Ke-18 Dalam Daya Saing Global


KUALA LUMPUR, 30 Sept – Malaysia melonjak dua tangga ke kedudukan ke-18 daripada 140 negara, mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan 20 ekonomi utama paling berdaya saing di dunia, rangking tertingginya sejak 2005.

Laporan Daya Saing Global 2015-2016, yang diumumkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) hari ini, menyenaraikan Malaysia di tangga ke-18 dengan skor 5.23 daripada tangga ke-20 dalam kalangan 144 negara tahun lepas.


Malaysia juga kekal berada di kedudukan teratas dalam kalangan Negara membangun Asia.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata peningkatan rangking itu adalah berita yang dialu-alukan dalam konteks persekitaran global yang mencabar ketika ini.

“Rangking ini juga merupakan sokongan terhadap kemajuan yang dicatatkan negara dalam meningkatkan kecekapan dan daya saing menerusi Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, disokong oleh asas ekonomi kukuh, Malaysia berada di landasan baik untuk meneruskan kemajuannya ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun akan datang apabila negara berjaya merapatkan jurang dengan pendapatan per kapita kasar negara berada pada US$10,660 tahun lepas.

Menurut laporan itu, Malaysia merupakan ekonomi paling berdaya saing dalam kalangan 20 ekonomi yang berada pada tahap peralihan daripada ekonomi berasaskan kecekapan kepada ekonomi berasaskan inovasi.

Dengan prestasi daya saing dipertingkatkan, Malaysia terus mendahului ekonomi-ekonomi utama seperti Belgium, Luxembourg, Australia, Perancis, Austria, Ireland, Arab Saudi dan Korea Selatan.

Switzerland berada di kedudukan pertama bagi tujuh tahun berturut-turut dalam Indeks Daya Saing Global (GCI) 2015-2016, diikuti Singapura, Amerika Syarikat (AS), Jerman, Belanda, Jepun, Hong Kong, Finland, Sweden, United Kingdom, Norway dan Denmark.

WEF menjelaskan lagi peningkatan kestabilan makroekonomi Malaysia (di kedudukan ke-35, naik sembilan mata) adalah hasil terutamanya daripada pengurangan defisit bajet pada 3.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar, yang terendah dalam tempoh enam tahun.

Mustapa berkata laporan itu menunjukkan daya saing Malaysia berasaskan kepada kecekapan pasaran barangan dan tonggak pembangunan pasaran kewangan, yang mana Malaysia berada dalam senarai 10 teratas masing-masing pada kedudukan keenam dan kesembilan.

“Malaysia mencatatkan kenaikan dalam kebanyakan daripada 12 tonggak, dengan peningkatan kestabilan makroekonomi, pendidikan tinggi dan latihan (kedudukan ke-36, naik 10 tangga) dan paling ketara, kesediaan teknologi (kedudukan ke-47, melonjak 13 tangga),” katanya.

Antara faktor penyumbang kepada peningkatan ketara itu, dengan lebih daripada sepuluh tangga, ialah langganan jalur lebar mudah alih (kedudukan ke-48, naik 45 tangga), pendaftaran pendidikan rendah bersih (kedudukan ke-41, meningkat 19 mata) dan keseimbangan bajet kerajaan (kedudukan ke-85, naik 17 tangga).

Dalam penilaian positif itu, GCI turut menunjukkan bahagian-bahagian tertentu yang perlu ditambah baik termasuk kadar penyertaan wanita yang rendah dalam tenaga kerja.

Mustapa berkata kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan produktiviti secara berfokus dan bersasar dengan hasil yang jelas di peringkat nasional, industri dan perusahaan semasa Rancangan Malaysia Ke-11.

Menurutnya, ini adalah sejajar dengan penekanan WEF kepada produktiviti tinggi untuk menangani pertumbuhan perlahan.

Mustapa berkata asas kukuh perkongsian awam-swasta Malaysia akan membantu negara mengekalkan momentum pertumbuhannya untuk menjadi satu daripada destinasi pelaburan dan perdagangan utama di Asia.

“Sektor swasta akan terus meningkatkan usahanya untuk melabur dalam teknologi, meneruskan produktiviti dan memupuk inovasi serta bakat,” katanya.

- MediaUMNO

No comments:

Post a Comment