Program yang digerakkan Persatuan Gabungan Permotoran Negeri Terengganu (PGPNT) dengan kerjasama kerajaan negeri itu masuk tahun ketiga penganjurannya.
Presiden PGPNT, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud berkata, TBW 2015 bakal menarik ramai peminat serta pengunjung motosikal berkuasa tinggi.
“TBW 2015 yang dianjurkan dengan kerjasama kerajaan negeri kali ini dianggarkan melibatkan 1,500 peserta termasuk dari Singapura dan Thailand.
“Mereka akan berkampung di Kuala Terengganu selama tiga hari dengan pelbagai aktiviti menarik disajikan kepada peserta,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada sidang media Terengganu Bike Week 2015 di Duyong Marina Resort, malam tadi. Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Samiun Salleh.
Tambah beliau, TBW 2015 juga memberikan sedikit kelainan kepada peserta yang menyertainya.
“Pada tahun ini, kita adakan sukan rakyat seperti bola sepak pantai dan gasing kepada peserta bagi mendekatkan penunggang dengan masyarakat setempat.
“Selain itu, persembahan motosikal lasak yang dipanggil khas dari Thailand turut disajikan untuk menarik pengunjung menyaksikan sendiri aksi yang jarang dapat dilihat,” katanya.
TBW 2015 yang diadakan di Dataran Batu Burok itu juga diharapkan dapat mendidik orang ramai tentang motosikal dan cara menunggang secara berhemah.
Antara aktiviti sampingan sepanjang program tersebut berjalan adalah pertandingan motor cantik, permainan tradisional, pertunjukan ‘Stunt Man’ dan persembahan kebudayaan.
Teganukita/MediaJertih
No comments:
Post a Comment