Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman menyempurnakan pelepasan penerbangan terus jemaah haji Terengganu ke tanah suci di TH Hotel, Kuala Nerus, hari ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail
*****
Seramai 270 orang bakal-bakal haji Terengganu menjadi kumpulan kedua berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji tahun ini dengan penerbangan terus dari Kuala Nerus ke Jeddah.Kumpulan pertama telah bermula 28 Ogos lalu dan penerbangan terakhir iaitu KT-43 dijadualkan pada 7 September ini.
Penerbangan KT-38 dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus ini dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah pada pukul 12.20 tengah hari waktu Malaysia atau 4.20 petang waktu Arab Saudi.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman di TH Hotel, Kuala Nerus. Turut hadir, Speaker DUN Terengganu, Dato’ Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Osman Muda dan Pengurus Besar Kanan Operasi Tabung Haji, Adi Azuan Abdul Ghani.
Ini tahun kelapan Tabung Haji dengan kerjasama MAS menyediakan penerbangan terus ke Jeddah dan juga Madinah.
Ahmad Razif dalam ucapannya yakin pihak Tabung Haji akan melakukan yang terbaik untuk terus menjaga kebajikan para jemaah Malaysia di Tanah Suci.
“Saya difahamkan Tabung Haji menyediakan kakitangan yang lengkap, berdedikasi dan berpengalaman untuk terus menjaga kebajikan para jemaah dari sudut kesihatan, penginapan dan makanan,” katanya.
Teganukita/MediaJertih
No comments:
Post a Comment