Páginas

Monday 28 September 2015

Perhimpunan Rakyat Bersatu Bukan Perhimpunan Rasis – Sharkar

Oleh: Azlina Rosdy

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, perhimpunan aman Rakyat Bersatu semalam bukanlah satu perhimpunan rasis kerana perhimpunan ini tidak sama sekali menyentuh sensitiviti agama dan bangsa lain.


Jelasnya, negara ini tertakluk kepada perlembagaan dan di dalamnya tidak ada satupun tercatat mengenepikan kaum lain dalam apa jua bidang dan situasi.

“Perhimpunan aman ini juga bukan kerana perbezaan agama dan bangsa tetapi adalah kerana mahu memberi pengajaran kepada mereka yang tidak bertanggungjawab agar jangan memperkotak katikkan bangsa Melayu khususnya agama Islam.

“Perhimpunan ini juga menjadi satu sejarah kepada penyatuan orang Melayu. Orang Melayu pernah melakukan begini pada tahun 1946 apabila mahu mengagalkan rancangan British dan UMNO ditubuhkan dan kini bila orang Melayu dan Islam dicabar kami sekali lagi bangkit dengan satu kesedaran untuk menyatakan sikap dan perasaan mereka.

“Jadi, semua orang harus ada sikap toleransi di antara satu sama lain dan sikap integrasi serta memahami perasaan orang lain. Negara ini terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama jadi kita harus saling hormat-menghormati,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Beliau juga berharap agar kaum-kaum lain tidak lagi mencabar dan keterlaluan di dalam melakukan provokasi terhadap bangsa Melayu dan Islam.

Pada masa yang sama beliau turut membidas media pembangkang yang menipu di dalam jumlah kehadiran penyertaan perhimpunan ini di Padang Merbok.

“Mereka boleh cakap tiga ribu atau apa sahaja jumlah, tidak ada masalah. Tapi orang akan ketawakan mereka kerana realitinya Padang Merbok penuh. Mereka terdesak sehingga sanggup buat fitnah sebegini. Tengoklah banjiran manusia daripada seluruh Negara di Padang Merbok.

“Tiada pihak yang boleh menafikan kehadiran yang melebihi 100 ribu orang ini,” ujarnya lagi.

– MediaUMNO

No comments:

Post a Comment